Meremajakan UiTM seiring perkembangan semasa

Astro Awani
Oktober 5, 2021 20:34 MYT
Sistem kepimpinan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu bergerak mengikut kehendak serta keperluan semasa, terutamanya dalam era digitalisasi ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Sistem kepimpinan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu bergerak mengikut kehendak serta keperluan semasa, terutamanya dalam era digitalisasi ini.
Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, ini kerana UiTM bukan hanya berfungsi sebagai institusi pengajian, malah ianya merupakan lambang kepada perjuangan bumiputera yang meletakkan pendidikan sebagai teras utama kemajuan negara.
"Era kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam norma baru ini menuntut kepada daya kepimpinan mahasiswa yang luarbiasa.
"Ini adalah kerana paksi kepimpinan mahasiswa bukan lagi berdasarkan kepada prinsip-prinsip kepimpinan konvensional tetapi berdasarkan kepada prinsip kepimpinan digitalisasi.
"Maknanya, kegagalan pemimpin mahasiswa (MPP) dalam mengurus dan menguasai kepimpinan bersifat 'digital based' akan menyebabkan mereka boleh hilang daya kecekapan yang diperlukan dalam detik sebegini (pandemik COVID-19)," katanya.
Ujar beliau, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang selama ini tidak boleh dijadikan alasan oleh kepimpinan mahasiswa untuk tidak melunaskan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh pelajar universiti berkenaan.
"Makanya, hubungan sembiotik antara pelajar - MPP universiti dan masyarakat perlu berlangsung dalam suasana new normal yang terlingkup dalam parameter secara dalam talian," tambahnya lagi.
Beliau dalam masa sama turut mengagumi keupayaan ahli MPP di seluruh negara yang mengambil berat dan cakna dengan keperluan pelajar terutamanya dalam aspek pembelajaran jarak jauh.
Beliau turut menyarankan semua MPP di seluruh negara untuk peka dengan kepimpinan dalam era digitalisasi ini dan mengambil langkah-langkah perlu memperbaharui dan meningkatkan kemahiran kendiri dalam bidang seumpamanya.
Ini adalah bagi membolehkan institusi berkenaan kekal relevan dengan kehendak zaman kini.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sempena Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Se–Malaysia 2021 yang berlangsung dari 4 Oktober sehingga 7 Oktober 2021, secara atas talian.
Selain Masrizal, konvensyen itu turut disertai Naib Canselor UiTM, Prof Roziah Mohd Janor, Timbalan Presiden dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha.
#UiTM #MARA #Bumiputera #pendidikan #Dr Ahmad Masrizal Muhammad
;