Merdekakan Malaysia daripada rasuah - Hussamuddin

Sinar Harian
Ogos 31, 2021 09:35 MYT
Hussamuddin menegaskan, meskipun negara telah merdeka selama 64 tahun, gejala itu dilihat masih tersebar luas dalam setiap golongan masyarakat. -Foto Twitter/ @HussamuddinYaacub
SHAH ALAM: Usaha untuk memerdekakan diri, keluarga dan orang terdekat daripada terjebak dengan kegiatan rasuah perlu dilakukan supaya tidak terus berleluasa dan bertambah parah.
Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub menegaskan, meskipun negara telah merdeka selama 64 tahun, gejala itu dilihat masih tersebar luas dalam setiap golongan masyarakat.
Menurut beliau, ketika ini, perasaan tidak bersalah untuk menipu, mengambil duit secara terang-terangan, menjual kerusi politik, melompat parti dan sebagainya semakin berleluasa dan tidak dianggap sebagai satu kesalahan.
“Sebab itu kami (Rasuah Busters) menggunakan pendekatan mengeluarkan video Merdekakan Kami Daripada Rasuah yang menampilkan kanak-kanak.
“Kita berharap video ini dapat menyentuh hati ibu bapa untuk tidak terlibat dengan rasuah.
“Kita buat dalam empat bahasa kerana di Malaysia terdapat pelbagai kaum. Jadi, kita perlu meraikan mereka semua.
“Rasuah melibatkan semua kaum, sama ada memberi atau menerima. Kita berharap ini akan menimbulkan satu gelombang keinsafan kepada kalangan orang tua.
“Kita merdeka daripada penjajahan. Tapi kita membenarkan jiwa kita dijajah pula oleh ketamakan, kerakusan dan kita dijajah oleh sikap negatif.
Hussamuddin menegaskan, meskipun negara telah merdeka selama 64 tahun, gejala itu dilihat masih tersebar luas dalam setiap golongan masyarakat.
“Maknanya walaupun negara merdeka, pemikiran tidak merdeka,” tegas Hussamuddin pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sesebuah negara yang benar-benar merdeka akan menjadi lebih maju dan baik namun Malaysia pula sebaliknya.
Katanya, keadaan itu disebabkan rakyat Malaysia sendiri memilih pemimpin yang tidak mendatangkan kebaikan kepada negara.
“Kenapa salah pemimpin? Sebab kita berasakan perangai macam ini (rasuah) baik, jadi itu yang saya rasa kita mesti merdeka daripada rasuah.
“Rasuah adalah punca segala masalah. Negara yang rasuah, rakyat miskin, berpecah belah dan perbezaan kaya serta miskin jauh. Rakyat melarat.
“Seruan Rasuah Busters ialah kita bangkit beramai-ramai tolak virus rasuah. Virus rasuah adalah punca segala masalah,” katanya.
Ditanya berkaitan penerapan semangat patriotisme, beliau berkata, ia perlu bermula dengan menghidupkan kembali jiwa.
Jelasnya, rakyat bosan disebabkan keadaan kucar-kacir negara yang mana terdapat salah guna kuasa, berlaku ketidakadilan, berpecah belah dan sebagainya.
“Jadi, kita berharap apabila kita menghidupkan jiwa, semangat patriotisme akan ada. Sayangkan negara.
“Sekarang ini, keluarga pun orang tidak sayang. Tiada tanggungjawab kepada emak ayah, anak dan isteri. Ini kerana jiwa yang mati.
“Kita kena hidupkan dengan menerapkan nilai agama. Ini yang Rasuah Busters cuba bawakan,” tegas beliau lagi.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Merdeka #rakyat Malaysia #Rasuah #hari kemerdekaan #Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf #Ketua Pasukan Rasuah Busters #Datuk Hussamuddin Yaacub
;