Merdeka Kampong Bharu, merdekalah Melayu!
Wan Syamsul Amly
Ogos 27, 2017 15:21 MYT
Ogos 27, 2017 15:21 MYT
TAHUN INI genaplah 117 tahun usia Kampong Bharu.
Sepanjang perjalanan usianya, perkampungan Melayu ini sudah merasai perit getir negara mencapai kemerdekaan selain pernah dihiris sejarah hitam negara, peristiwa 13 Mei 1969.
Biarpun perspektif kemerdekaan di Kampong Bharu sedikit berbeza, namun misinya tetap untuk menyatukan orang Melayu di sana.
Pemaju hartanah yang juga anak jati Kampong Bharu, Datuk Abdul Rahim Mohd Ibrahim berkata kemerdekaan itu bukanlah menukar kehidupan sedia ada kepada mengejar duniawi semata-mata.
"Kita bukan hendak merdeka dan tukar kehidupan kepada duniawi. Orang Melayu masih hendak sembahyang - Zohor, Isyak dan waktu solat yang lain; kita jumpa di masjid, semua orang di sini bertemu di masjid.
"Jangan cakap mengenai merdeka pada masa sebelum merdeka kerana kita masih kecil, mandi di masjid. Kita maju atau tak maju, paling penting hendak bentuk kemerdekaan Melayu," katanya yang lahir pada Disember 1946.
Sejarah RAH
Sejarah Abdul Rahim dalam membangunkan Kampong Bharu tidak boleh dinafikan. Kejayaannya membangunkan Plaza RAH, sebuah kondominium mewah di Jalan Raja Abdullah yang merupakan satu-satunya struktur kediaman paling tinggi di kampung itu menjadi kemegahan bangsa.
Kemunculan plaza berkenaan sebagai mercu tanda baharu perkampungan Melayu di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur menghakis segala tanggapan bahawa Kampong Bharu tidak boleh dimajukan.
Jelas Abdul Rahim, di hati anak-anak jati Kampong Bharu tersemat impian untuk sentiasa berkorban demi pembangunan kampung itu.
"Masa saya mula-mula di sini, orang tanya kenapa buat pembangunan di tempat setinggan. Saya pergi ke seluruh negara, kalau tengok New York asalnya banyak kawasan setinggan tapi kita bangunkan sikit-sikit.
"Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Lembaga Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS) ada, masih ada orang berniaga dan buat pembangunan di Kampong Bharu ini.
"Paling penting niat kena ikhlas, kalau kelentong tak guna. Paling penting keyakinan Melayu sendiri, Melayu hendak bina nama macam syarikat pembinaan YTL," ujarnya.
Kata Abdul Rahim lagi, Plaza RAH yang diambil sempena namanya sendiri seharusnya menjadi perangsang untuk pemaju Melayu lain melakukan perkara sama.
Terbaharu, Abdul Rahim membina projek Residensi Rah Kampong Bharu membabitkan 187 unit kondominium 39 tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM182 juta.
Beliau yang selesa berjubah menegaskan bahawa Kampong Bharu sebenarnya cermin kepada pembentukan kampung Melayu di negara ini.
"Kalau orang Cina mereka akan ke China Town, tetapi orang Melayu dari Kelantan, Terengganu dan seluruh negara tidak akan cari Cheras atau Subang Jaya ... dia cari Kampong Bharu.
"Kita orang tua tahu kenapa Melayu ada di sini, ini adalah kerana kepentingan Kampong Bharu itu sendiri.
"Kalau kerajaan berjaya bangunkan Kampong Bharu, semua orang akan sokong kerajaan," ujarnya.
Jiwa Melayu
Sentiasa tersenyum semasa ditemu bual, Abdul Rahim mahu masyarakat Kampong Bharu sentiasa bersatu padu dan tinggal dalam kesepakatan jiwa Melayu.
"Bagaimana orang Melayu bersatu hati semasa tahun 1969 di sini, itulah jiwa Kampong Bharu.
"Sehingga sekarang ini, Melayu masih mahu pembangunan, namun sesetengah daripada mereka dihasut pembangkang. Saya tahu Melayu mahu pembangunan," jelasnya.
Ketika dilontarkan pertanyaan tentang persepsi masyarakat bahawa nilai kemelayuan pada populasi Kampong Bharu semakin menipis, ini kata Abdul Rahim:
"Persepsi itu timbul sebab ada banyak penyewa luar. Kita kena tahu ada pemilik tanah sudah keluar, kira-kira 20 peratus sudah tinggalkan Kampong Bharu.
"Sebab itu, alangkah baiknya kalau kita dapat persetujuan semua untuk membina semula Kampong Bharu ini.
"Sekarang mereka seronok dapat sewa dalam RM10,000 sehingga RM20,000 sebulan, tapi kalau dibangunkan pasti dapat lebih lagi.
"Jangan jual habis tanah di sini, ikut cadangan pembangunan, itu yang terbaik. Dengan izin Tuhan, kita boleh bangunkan Kampong Bharu ini," kata Abdul Rahim lagi.
Tegasnya, pembangunan Kampong Bharu harus dilakukan orang Melayu dan perlu dibuat dengan niat ikhlas serta bukan menipu.
Katanya lagi, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut memaklumkan akan menentang habis-habisan pihak yang mahu membangunkan Kampong Bharu dengan niat yang tidak betul.
"Saya pernah jumpa orang yang hendak satu, hendak dua rumah di sini. Semangat datuk dan nenek mereka ada di situ ... kita sentiasa berusaha ke jalan itu.
"Jangan ada orang luar yang ajar kita cara untuk buat syarikat seperti Ali Baba, atau sistem perbankan Cina, itu duit mereka. Kita harus merdeka dalam diri sendiri," ujarnya.
Sebagai anak jati Kampong Bharu, penduduk mahu pengurusan jenazah diuruskan penduduk setempat.
Selain itu, Abdul Rahim mahu setiap tanda Kampong Bharu diubah seiring peredaran zaman. Ia termasuk rumah-rumah lama, warung penjaja dan kehidupan penduduk secara keseluruhan.
"Kita mesti berbangga dengan apa yang ada di sini, kita perlu bangunkan tanah dan perlu ingat tidak ada lagi tanah Melayu di Kuala Lumpur ini.
"Ramai orang Melayu yang pandai, biar Melayu yang bangunkan kawasan di sini dan apabila kerajaan bantu, lagi cepat kita akan naik.
"Melayu tidak naik jika kerajaan tidak bantu. Zaman Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dahulu Melayu dapat kontrak, itu semua selepas kejadian 13 Mei," tegasnya.
Namun dengan nada sinis Abdul Rahim mengakui kelemahan bangsa Melayu yang disifatkannya mudah lupa selain 'leka' dan sering melepaskan peluang yang ada kepada bangsa lain apabila diulit sedikit kemewahan.
"Bagaimanapun lokasi strategik yang mempunyai sejarah hitam lampau sebenarnya lokasi strategik yang menyatupadukan kaum.
"Di negara ini kita semua perlu bersatu padu namun kita tidak tolak kaum lain, kita cuma pertahankan hak.
"Kerajaan British beri lokasi ini sebagai rizab Melayu. Kita ada maruah yang perlu dijaga. Kita tidak lepas semua kepada bangsa asing," katanya.
Kurang keyakinan
Abdul Rahim dalam pada itu menegaskan bahawa kelemahan orang Melayu adalah kurang keyakinan.
"Tidak guna jika kita cakap mengenai bangsa lain, kita hormat hak orang lain dan tidak mulakan persengketaan.
"Saling hormat menghormati dan jangan mempertikaikan hak bangsa, itu paling penting," jelas Abdul Rahim.
Melihat 100 tahun akan datang di Kampong Bharu, Abdul Rahim mengakui orang Melayu harus berubah, sekali gus memberi nafas baru di kampung itu.
"Saya lihat kampung ini boleh dibangunkan, rumah-rumah kecil harus diubah, Melayu sendiri harus berubah.
"Tetapi kita tidak mahu mereka jual tanah dan akhirnya kehilangan hak.
"Apa terjadi kita mesti ada di sini, mempertahankan harta Melayu dan teruskan kehidupan di tanah milik kita sendiri," ujarnya.