Merdeka Award Talk Series cabar diri, pupuk pemikiran ke arah pertumbuhan demi kecemerlangan

Madiha Abdullah
September 25, 2024 16:30 MYT
Merdeka Award ialah platform untuk menggalakkan kepimpinan pemikiran dan inovasi, memupuk budaya kecemerlangan, menggalakkan pandangan dunia, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai Pemain Global Abad Ke-21.
KUALA LUMPUR: Mencabar diri boleh membantu perkembangan seseorang individu dan organisasi menerusi pendedahan kepada perspektif baharu dan menggalakkan perkembangan dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Pengasas Girls4Girls Project, Izzana Salleh berkata, langkah itu seterusnya akan memupuk pemikiran ke arah pertumbuhan dan pemerkasaan untuk menangani cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.
Jelasnya, perubahan yang lahir dari proses itu akan membawa kepada daya tahan dan kebolehsuaian yang akan memberi manfaat terhadap keupayaan profesional serta peribadi.
“Banyak bertanya kepada diri sendiri, apa yang boleh saya lakukan dengan lebih baik? Sentiasa mengucapkan tahniah kepada pasukan dan puji sesama sendiri..
“Tetapi untuk program seterusnya, matlamat seterusnya, kohort seterusnya, projek besar yang seterusnya yang akan dilakukan, apa yang boleh kita lakukan dengan lebih baik?
"Bagaimana kita boleh mencapai matlamat yang besar dan mustahil itu dan bagaimana kita mencapainya dengan lebih baik daripada yang dilakukan sebelum ini?
"Bagaimana sebagai seorang manusia, menjadi lebih baik daripada diri kita semalam? Jadi bagi saya, ia sentiasa tentang pertumbuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengasas PepperLabs Social Enterprise, Kuhan Pathy berkata, adalah penting untuk mencabar diri sendiri dan mencabar had masing-masing.
"Jadi ketika orang lain memilih status quo, saya akan berkata, jika itu cara ia dijalankan, maka anda harus cuba menjalankannya dengan cara berbeza,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne, Datuk Kamarul A Muhamed, pemimpin yang baik akan mengakui pembudayaan organisasi memberi impak dan nilai yang mempengaruhi cara sesebuah organisasi menjalankan perniagaannya.
Justeru ujarnya, meraikan setiap perubahan dan penambahbaikan kecil akan memperkukuh tingkah laku dan tabiat positif sekali gus memungkinkan organisasi mencapai kejayaan lebih hebat pada masa akan datang.
“Di Aerodyne kami membina, apa yang kami panggil Aerodyne Way, iaitu formula mentakrifkan siapa kami, bagaimana kami melakukan sesuatu, apakah tujuan kami dan apakah visi kami. Ia bertujuan untuk memberi matlamat yang jelas kepada rakan sepasukan.
"Anda ingin menjadi syarikat bertaraf dunia, anda perlu mempunyai falsafah bertaraf dunia,” katanya.
Mereka ditemui pada 2024 Merdeka Award Talk Series #2: “What My Mentor and Leaders Never Told Me: Leading Through Twists, Trials and Triumphs” di ibu negara, pada Selasa.
Merdeka Award Talk Series cabar diri pupuk kecemerlangan
Merdeka Award merupakan platform untuk menggalakkan kepimpinan pemikiran dan inovasi, memupuk budaya kecemerlangan, menggalakkan pandangan dunia, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai Pemain Global Abad Ke-21 yang dinamik dan berdaya saing.
Dimulakan pada 27 Ogos 2007 melalui usaha kerjasama Petronas dan Shell, Merdeka Award mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada individu serta organisasi yang cemerlang, bertindak sebagai penunjuk arah bagi mereka yang bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan negara tetapi juga telah memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.
#Merdeka Award Talk Series #Girls4Girls Project #cabar diri #PepperLabs Social Enterprise #Aerodyne
;