Mercy Malaysia dicalonkan sebagai penerima anugerah Hadiah Aurora 2018

Agensi
Jun 12, 2018 04:59 MYT
Mercy Malaysia telah memberi bantuan kemanusiaan tanpa henti kepada pelarian Rohingnya dan pelarian-pelarian lain.
Badan kebajikan Mercy Malaysia telah dicalonkan sebagai penerima anugerah Hadiah Aurora 2018 dalam kategori Awakening Humanity (Membangkitkan Kemanusiaan) atas kesungguhan mereka menyumbang kepada bantuan perubatan kepada warga Rohingnya di Myanmar.
Pencalonan Mercy Malaysia diumumkan oleh peguam dan aktivis terkenal Myanmar, Kyaw Hla Aung, selepas beliau meneliti hasil kerja organisasi tersebut di Sittwe, Rakhine, sejak beberapa tahun lalu dan usaha mereka di Cox’s Bazar, Bangladesh, yang mana mereka telah memberi bantuan kemanusiaan tanpa henti kepada pelarian Rohingnya dan pelarian-pelarian lain.
Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Perdaus berkata geran yang dimenangi organisasi tersebut akan membantu mereka untuk terus membiayai aktiviti kemanusiaan dan memberi bantuan asas kepada masyarakat Rohingnya di Myanmar, Bangladesh dan Malaysia.
“Kami akan gembira mendengar berita ini apabila dipilih oleh Hla Aung,” katanya dalam satu kenyataan.
Anugerah Aurora untuk Awakening Humanity merupakan sebuah anugerah kemanusiaan dunia yang diwujudkan untuk memberi pengiktirafan kepada wira-wira moden yang memberi impak besar dalam membantu usaha menyelamatkan nyawa manusia dan mengetengahkan isu kemanusiaan di dunia.
Ia diwujudkan pada tahun 2015.
Hla Aung, 61 tahun, pernah menjadi peguam di Mahkamah Negeri Rakhine selama 22 tahun sebelum meninggalkan kerjayanya untuk memperjuangkan nasib masyarakat yang ditindas dan tidak mempunyai negara seperti masyarakat Rohingnya di Rakhine, Myanmar.
#aktivis #Bangladesh #kemanusiaan #mahkamah #Malaysia #mercy malaysia #Myanmar #pelarian #presiden #Rakhine #Rohingya
;