Mercy Malaysia aktifkan Pusat Operasi Respons Banjir

Bernama
Mac 2, 2023 23:27 MYT
Bantuan kemanusiaan merangkumi sokongan penjagaan kesihatan; makanan dan nutrisi; air, sanitasi dan kebersihan serta logistik dan operasi.
KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia telah mengaktifkan Pusat Operasi Respons Banjir di seluruh negara selepas bencana itu menjejaskan beberapa negeri termasuk Johor.
Kenyataan MERCY Malaysia hari ini memaklumkan bantuan kemanusiaan susulan pengaktifan pusat itu memfokus kepada empat pelan respons serampang empat mata merangkumi sokongan penjagaan kesihatan; makanan dan nutrisi; air, sanitasi dan kebersihan (WASH) serta logistik dan operasi.
"Menerusi cawangannya di Johor, Mercy Malaysia telah menghantar Pasukan Penilaian Pantas dan Perubatan Kecemasan untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada komuniti yang terjejas," menurut kenyataan itu.
Respons kemanusiaan MERCY Malaysia terhadap bencana banjir akan dipertingkat untuk mematikan penyelarasan berstruktur bagi kecemasan kepada sokongan pemulihan.
Sementara itu, Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus dalam kenyataan sama berkata bermula semalam, klinik bergerak telah diwujudkan di Kluang, yang merupakan antara kawasan terjejas teruk akibat banjir.
"MERCY Malaysia juga telah mula menghantar kit Penjagaan Kesihatan Primer (PHC) dan mengagihkan 500 set kit kebersihan diri kepada komuniti terjejas.
"Agihan PHC, kit kebersihan diri dan bantuan lain yang berikutnya telah dijadualkan setiap hari bukan hanya di Johor tetapi juga di negeri lain yang terjejas," katanya.
Beliau berkata Pasukan Penilaian Pantas MERCY Malaysia juga telah dihantar ke negeri terjejas untuk mengumpul data mengenai mereka yang terkesan dan menganalisis situasi di lapangan mengenai keperluan komuniti bagi perancangan respons secara menyeluruh.
MERCY Malaysia juga telah mengaktifkan Tabung Bantuan Banjir Malaysia. Sumbangan boleh disalurkan kepada:
  1. Tabung Kemanusiaan MERCY (Maybank)
Nombor akaun: 5621 7950 4126
Kod rujukan: Bantuan Banjir
Kod pantas: MBBEMYKL
  • MERCY Malaysia (CIMB)
  • Nombor akaun: 8000-7929-08
    Kod pantas: CIBBMYKL
    1. MERCY Malaysia (Maybank Islamik) (bagi sumbangan Kewangan Sosial Islam)
    Nombor akaun: 5642-5858-7606
    Kod pantas: MBBEMYKL
    Sila layari www.mercy.org.my untuk maklumat lanjut.
    -- BERNAMA
    #mercy malaysia #bantuan kemanusiaan #banjir #pusat operasi #respons banir
    ;