Mercun, rokok bernilai RM45 juta dirampas di Selangor, dua lelaki ditahan

Umavathi Ramayah
Mac 7, 2025 23:54 MYT
Azmi berkata, polis menumpas aktiviti penjualan pelbagai jenis mercun tanpa permit serta rokok tanpa permit bernilai lebih RM45 juta dengan penahanan dua lelaki tempatan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis menumpas aktiviti penjualan pelbagai jenis mercun serta rokok tanpa permit bernilai lebih RM45 juta dengan penahanan dua lelaki tempatan dalam Operasi Taring Charlie dan Operasi Op Taring Alpha 1 yang dilakukan secara berasingan di Kapar dan Rawang, Selangor baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit dengan nilai keseluruhan lebih RM32 juta dalam serbuan pertama pada Khamis lalu di Kapar.
"Dalam serbuan itu, kita turut menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai bertanggungjawab ke atas premis berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Azmi memberitahu, dalam serbuan itu polis merampas 25,480 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis, sebuah kontena bersaiz 12 meter dan sebuah lori tiga tan.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Sementara itu dalam Operasi Op Taring Alpha 1 pada Jumaat di Bukit Sentosa, Rawang, pada Jumaat, polis merampas rokok tidak berkastam bernilai kira-kira RM13 juta dan menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang bertindak sebagai penjaga dan penghantar barangan.
Dalam serbuan itu kata beliau, polis merampas 27,100 karton rokok putih pelbagai jenis, 4,560 rokok kretek pelbagai jenis dan sebuah van jenis Toyota Hiace.
Beliau memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, Azmi memaklumkan dalam serbuan sejak 1 Januari hingga 7 Mac lalu, polis menahan 107 individu atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan oeprasi e-waste yang bernilai lebih RM370 juta menerusi 69 serbuan.
#Akta Kastam 1967 #rokok seludup #mercun dirampas #Polis Diraja Malaysia
;