Mercun dan bunga api: Libatkan peranan ketua masyarakat - Pakar pengurusan risiko

Fareez Azman
Februari 6, 2023 13:46 MYT
SHAMSUL BAHARI: Masyarakat perlu dididik, ketua komuniti perlu diberi maklum, berhubung ilmu tentang kawalan dan risiko keselamatan, melibatkan bahan letupan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melibatkan ketua masyarakat dalam garis panduan penggunaan mercun dan bunga api di negara ini susulan keputusan membenarkan aktiviti pembakaran serta penjualannya baru-baru ini.
Menurut Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Shamsul Bahari Shamsudin, ia perlu bagi memudahkan pemantauan dilakukan pihak berkuasa, di samping melahirkan masyarakat yang berilmu dan peka akan pengurusan risiko.
"Sudah sampai masa kita memperkasakan komuniti dengan pengetahuan dan tindakan pemantauan.
"Ini boleh dibantu oleh ketua-ketua komuniti itu sendiri, tetapi ia perlu selari dengan pengetahuan masyarakat.
"Masyarakat perlu dididik, ketua komuniti perlu diberi maklum, berhubung ilmu tentang kawalan dan risiko keselamatan, melibatkan bahan letupan dan sebagainya," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 3 Feb lalu yang mengumumkan Kabinet memutuskan menarik balik larangan penjualan dan permainan mercun yang diharamkan sejak 1995.
Bagaimanapun, kata Nga, kerajaan akan mengawal dari segi sumber penjualan dan pengimportan produk berkenaan.
Pantau Kerajaan Baharu | Risiko kebenaran aktiviti pembakaran, penjualan mercun
Shamsul Bahari berkata, meskipun kerajaan menarik balik larangan tersebut, penguatkuasaan secara holistik masih sangat diperlukan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
"Mungkin dari sudut tertentu, larangan secara total aktiviti bermain mercun, terutama di musim perayaan, tidak lagi relevan.
"Tetapi, penarikan larangan ini perlu diselarikan dengan tugas penguatkuasaan yang lebih fokus, pemantauan dan pematuhan garis panduan kawalan risiko baharu yang akan dibangunkan nanti," jelasnya lagi.
BACA: Kaji semula kebenaran penjualan mercun, bunga api - CAKE
Mengulas lanjut, beliau berkata, peraturan yang ketat juga perlu diwujudkan dalam memastikan setiap bahan letupan yang masuk ke negara ini mengikut piawaian yang selamat.
"Bahan bunga api yang masuk ke negara ini perlu mengikut kualiti atau standard yang tertentu. Kita tak mahu bunga api dibawa masuk ke negara kita secara haram.
"Kita mahu semua ini dibenarkan, tetapi mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada.
"Ini satu cabaran kepada Kementerian Dalam Negeri dalam membentuk satu garis panduan yang boleh diikut dan dipantau dengan jelas," katanya.
Dari sudut kawalan, kata Shamsul Bahari, mengenakan had umur dilihat amat relevan dalam mengawal penggunaan mercun dan bunga api.
"Seperti merokok, kita tak benarkan 18 tahun ke bawah membeli rokok. Mungkin juga dalam kes bunga api dan mercun ini, kita tetapkan had umurnya nanti," katanya.
#pembakaran mercun dan bunga api #Shamsul Bahari Shamsudin #mercun #bunga api
;