Mercu tanda baru hubungan Malaysia-Singapura
Astro Awani
Februari 19, 2013 06:48 MYT
Februari 19, 2013 06:48 MYT
Projek kesejahteraan Afiniti Medini dan Avira di Medini Iskandar Malaysia bakal menjadi projek mercu tanda hubungan yang semakin kukuh Malaysia-Singapura.
Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek tersebut membuktikan peningkatan signifikan dalam pelaburan membabitkan syarikat negara jiran di Iskandar Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas merasmikan pembukaan projek Afiniti Medini dan Avira di Medini, Iskandar Malaysia.
Lee yang turut menyambut baik projek ikonik itu memuji komitmen Malaysia dalam memajukan pembangunan Iskandar Malaysia .
Projek Afiniti Medini seluas 207 hektar dimajukan oleh Pulau Indah Ventures Sdn Bhd. hasil usahasama Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Private Limited yang masing-masing memegang 50 peratus saham.
Manakala Avira pula dibangunkan Nuri Merdu Sdn Bhd. dengan pemegang ekuiti 50 peratus saham antara Pulau Indah Ventures dengan Oriental Berhad.