MERCU 2023 realisasi aspirasi keusahawanan Bumiputera
Bernama
September 7, 2023 04:32 MYT
September 7, 2023 04:32 MYT
KUALA LUMPUR: Program MERCU 2023 anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi manfaat kepada usahawan dan bakal usahawan yang memerlukan bimbingan serta informasi terkini melalui program dan aktiviti ditawarkan Mara sekali gus merealisasikan Aspirasi Keusahawanan Bumiputera.
Pengerusi Mara Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata selain menyampaikan informasi mengenai kemudahan keusahawanan yang ditawarkan Mara, program itu juga membuka laluan kepada usahawan memperluas akses pasaran.
"Kita hendak menggembleng seberapa ramai usahawan Bumiputera Melayu untuk terlibat secara aktif, bukan sekadar terima pembiayaan lepas itu dia hanya tunggu untuk bayar balik tetapi dari semasa ke semasa, rangkaian itu penting.
"Kita hendak wujudkan satu ekosistem... rangkaian dalam dunia perniagaan ini penting terutama usahawan baharu bertapak, apatah lagi untuk kita memacu dari segi pembangunan dan kelestarian untuk mereka bertahan dalam satu-satu industri," katanya pada sidang media selepas melancarkan program MERCU 2023 di sini semalam.
MERCU 2023 yang bermula 4 hingga 8 Sept di Medan Mara dan Busana Menara Mara, mengetengahkan reruai pameran program khas Mara, jualan produk usahawan, seminar keusahawanan, sesi padanan perniagaan dan pelbagai pengisian menarik.
Beliau berkata selain menawarkan kemudahan pembiayaan perniagaan, Mara komited untuk merangsang pertumbuhan ekonomi usahawan Bumiputera menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk pementoran, padanan perniagaan dan memperluas pasaran produk usahawan di dalam dan luar negara.
Pada majlis sama, Asyraf Wajdi turut mengumumkan hasil kejayaan Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) dalam bidang perubatan, Mara kini menerokai bidang profesional perakaunan melalui konsep rangkaian firma akauntan Bumiputera bersekutu.
Beliau berkata peruntukan sebanyak RM2.1 juta diluluskan bagi membantu sejumlah 11 outlet beroperasi di bawah jenama Kumpulan Prudence Consulting Group (PACCT) di bawah program itu.
"Ini juga antara inisiatif Mara, kita tak mahu Mara dilihat dalam sektor biasa (perniagaan kecil dan sederhana - PKS) tetapi kita juga menawarkan pembiayaan dalam sektor-sektor bersifat ikhtisas.
"Kita sudah ada jenama kita sendiri, U.n.i Klinik, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental yang ternyata pengalaman kita dengan usahawan yang melaksanakan program perniagaan dalam sektor ini, mereka berjaya untuk kekal dalam perniagaan bahkan berkembang dengan lebih pesat lagi," katanya.
Beliau berkata setakat ini, sejumlah 69 U.n.i Klinik, 19 U.n.i Farmasi dan 19 U.n.i Dental berjaya dibangunkan di bawah ProSPEC dalam bidang perubatan.
Selain itu, Asyraf Wajdi berkata kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan RM100 juta bagi kemudahan pembiayaan perniagaan pada tahun ini, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 usahawan.
-- BERNAMA