Meraikan kepelbagaian faktor pasaran meluas di Malaysia Timur
Ehsan A Marisah
Jun 9, 2021 17:47 MYT
Jun 9, 2021 17:47 MYT
KUALA LUMPUR: Kepentingan memahami kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa dalam memasarkan produk perlu menjadi keutamaan para usahawan tempatan untuk meluaskan pasaran ke Malaysia Timur.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Sarawak, Suhaimi Sulaiman berkata, keperluan untuk menghargai penonton yang ada di kepulauan Borneo itu perlu dijadikan sebagai strategi utama.
“Anda perlu jujur kepada mereka (penonton) sekiranya inginkan produk atau servis berkembang di sini dan ini termasuk anda memberikan kelainan dengan menginspirasi, menghargai budaya serta warisan.
“Selain itu, sekiranya rujukan anda adalah sumber antarabangsa dan pemain global, kita sebenarnya boleh bekerjasama, ini sebenarnya cara untuk menyampaikan mesej kepada penonton kerana mereka selari dengan nilai yang meraikan kepelbagaian,” katanya dalam siri webinar Marketing Insider: Borneo Edition, Localise your product marketing and win over East Malaysians pada Selasa.
Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Daily Express, Dexter Yeh, berkata mereka yang ingin memasarkan jenama dan produk di Malaysia Timur juga perlu bijak membuat perbandingan nilai antara kedua-dua negeri itu.
“Anda tidak boleh menyasarkan Malaysia Timur secara keseluruhan, perlu untuk mendekati dan memahami ceritanya dahulu sebelum disampaikan kepada penonton atau sasaran.
“Hal ini termasuk melihat kepada amalan yang dipraktikkan, malahan jika diperhatikan jenis makanan pun berbeza antara kedua-dua negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Pegawai Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, dengan mewakili sebahagian besar penduduk di Malaysia Timur, ia dapat mengurangkan halangan yang dihadapi beberapa cawangannya di sana.
“Apa yang menjadi kunci utama ialah dengan mewakilkan cawangan tempatan kami di sini, halangan bahasa menjadi perkara utama tetapi dengan adanya pengurus orang tempatan, maklumat dapat disampaikan secara meluas.
“Keduanya kami juga melancarkan perkhidmatan baharu, iaitu bank bergerak untuk penduduk di kawasan-kawasan yang mempunyai ketersampaian agak rendah termasuk menggunakan bahasa tempatan untuk iklan-iklan di radio,” ujarnya.
Pengurus Besar Astro Radio Malaysia Timur, Hafizuddin Nizamuddin pula berkata, pendekatan yang digunakan pihaknya sentiasa mencakupi kepelbagaian di Sabah dan Sarawak mencakupi bahasa, bahan dan konteks.
“Kita melihat jika di Semenanjung Malaysia, sering kali istilah Melayu, Cina, India dan lain-lain digunakan untuk mewakili agama dan kaum tetapi di Sabah dan Sarawak, ia berbeza kerana sebahagian besar populasi di sini ialah Kristian dan Katolik.
“Kalau lihat kepada stesen radio juga, apabila ada sambutan perayaan seperti sambutan Krismas, Hari Gawai Dayak, kita perlu meraikannya dengan penuh kemeriahan, justeru melihat aspek pemasaran, di Semenanjung, adakah kita berbuat sebegitu rupa dan mencukupi?,” ujarnya.
Terdahulu, Astro AWANI | LINC membawakan siri webinar ‘Marketing Insider: Borneo Edition, Localise your product marketing and win over East Malaysians’ yang bertujuan memberi pendedahan serta peluang kepada usahawan di seluruh negara memasarkan produk dan memenangi hati penduduk di kepulauan Borneo.
#Malaysia Timur
#Sabah
#Sarawak
#usahawan
#Suhaimi Sulaiman
#Warisan
#Astro
#Astro Radio
#pasaran
#LINC
#perniagaan
#ekonomi