'Merah, Kuning jangan ganggu Perkasa' - Tok Him

Wan Syamsul Amly
November 17, 2016 18:24 MYT
IBRAHIM: "Saya menganggap ia salah di sisi undang-undang. Jika mereka hendak teruskan ia hal mereka dan orang kata berani buat berani tanggung." - Gambar fail
Kumpulan Bersih atau Gerakan Baju Merah diminta tidak mengganggu perjalanan ahli-ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) ke Kuala Lumpur 19 November ini.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia berikutan ahli pertubuhan itu yang akan menghadiri Persidangan Agung Tahunan pertubuhan itu pada Sabtu dan Ahad.
"Kumpulan Kuning atau Merah harus mengikut arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang tidak membenarkan perhimpunan berlangsung.
"Kedua-dua tidak ada kelulusan. Saya menganggap ia salah di sisi undang-undang. Jika mereka hendak teruskan ia hal mereka dan orang kata berani buat berani tanggung.
"Bagi pihak Perkasa, kita harap supaya ahli Perkasa yang datang ke Kuala Lumpur tidak terhalang dengan kedua-dua perhimpunan ini," katanya semasa sidang media pengumuman Persidangan Agung Tahunan Perkasa yang akan diadakan pada 19 dan 20 November.
Ia akan dirasmikan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.
Ia bertemakan 'Pribumi Pasca 2020: Kelangsungan Ekonomi dan Keselamatan Nasional'.
Polis sebelum ini menegaskan perhimpunan dan konvoi Bersih 5 tidak boleh diteruskan di luar Dataran Merdeka susulan syarat yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 gagal dipatuhi penganjur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut menasihatkan Gerakan Baju Merah dan Bersih mengikut arahan Khalid bagi membatalkan perhimpunan kedua-dua kumpulan itu Sabtu ini.
Tegasnya, polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan tindakan akan tetap diambil ke atas mereka yang melanggar undang-undang.
#Bersih #Gerakan Baju Merah #PERKASA #Pribumi Perkasa Malaysia
;