Menyusahkan! Orang ramai mahu tindakan tegas diambil terhadap 'pelaku' punca ketiadaan air
Bernama
September 5, 2020 21:17 MYT
September 5, 2020 21:17 MYT
Letih, lesu dan menyusahkan. Itu antara keluhan masyarakat yang mahu tindakan tegas diambil terhadap 'pelaku' yang menyebabkan mereka terpaksa meluangkan masa pada hari minggu beratur menadah air.
Sejak awal pagi, penduduk berhampiran Pusat Khidmat Setempat (PKS) Lorong Raja Muda Abdul Aziz sudah mula beratur di tangki air terawat yang disediakan Air Selangor dengan masing-masing membawa baldi bagi mengisi air untuk dibawa pulang ke rumah.
Seorang warga emas yang hanya ingin dikenali sebagai Pheng, 64, mengeluh kerana terpaksa memikul tiga botol besar air, setiap satu berukuran 9.5 liter, selepas kawasan didiaminya di Wangsa Maju, kira-kira 12 kilometer dari lokasi itu, turut terputus bekalan disebabkan pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang.
"Susah, saya orang tua, mana larat nak angkat berat-berat. Kalau setiap hari macam ini susahlah. Saya lagi kesian kepada mereka yang duduk di rumah tinggi, kalau lif rosak, macam mana mau angkat.
"Ini orang (kilang yang menyebabkan pencemaran) sudah banyak kali saya dengar buat pencemaran ini, kalau boleh jangan bagi saman sahaja kali ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi berkenaan.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang yang terputus sejak Khamis memerlukan sekurang-kurangnya empat hari selepas bacaan tahap pencemaran bau pada sifar ton sebelum mula pulih secara berperingkat.
Pada hari sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata pihaknya mengesan pencemaran itu adalah berpunca dari sebuah kilang dan tindakan menyita serta kompaun serta-merta telah dikenakan terhadap premis tersebut yang dipercayai melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah, iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.
Sementara itu, di lokasi sama, Aznani Omar, 43, turut senada dengan Pheng dan bersetuju bahawa pihak berwajib wajar mengambil tindakan terhadap mereka yang mencemarkan Sungai Gong.
"Sudah tiga hari rumah saya tiada air ...nak mandi pun susah, ada jiran yang datang tumpang mandi guna air yang saya tadah di sini," katanya yang sanggup memandu dari Seri Gombak selama kira-kira 25 minit untuk ke PKS berkenaan.
Aznani, yang tinggal bersama lima orang lagi, berkata beliau juga bernasib baik kerana sempat membeli air mineral untuk kegunaan harian sebelum ia kehabisan di kebanyakan pasar raya di sekitar ibu negara.
Jamil Aziz, 60, yang tinggal berhampiran PKS itu pula berkata bekalan air yang diambilnya adalah bagi menampung kegunaan enam anggota keluarga termasuk seorang cucu berusia kira-kira setahun yang tinggal bersama beliau di Setapak Jaya.
"Pihak berwajib harus prihatin terhadap masalah yang dihadapi penduduk dan saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera supaya orang ramai tidak mengalami kesusahan ketiadaan air yang berpanjangan," katanya.
Tinjauan Bernama di lokasi itu selama kira-kira lima jam mendapati orang ramai tidak putus-putus beratur untuk menadah air namun selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, mereka kelihatan masih mengutamakan pematuhan terhadap prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.
Tinjauan di Pasaraya Tunas Manja Group (TMG Mart) cawangan Gombak pula mendapati air minuman dan air mineral 'laku keras.'
Pengurus stor yang hanya ingin dikenali sebagai Azlan berkata pembelian panik bagi kedua-dua barangan berlaku sejak pagi semalam dan lapan 'pallet' air minuman atau mineral yang selalunya mampu bertahan selama 15 hari, habis hanya dalam tempoh dua hari.
"TMG cawangan ini tidak bercadang untuk menambah tempahan stok air minuman kerana faham isu gangguan bekalan air adalah bersifat sementara," katanya sambil menambah jualan harian barangan basah TMG cawangan itu juga menurun sebanyak 40 peratus susulan insiden gangguan bekalan air.
Pemerhatian pemberita mendapati beberapa restoran di sekitar Lembah Klang telah ditutup dengan pengusaha menampal notis 'tiada air' dan ada juga yang meneruskan operasi namun menawarkan menu terhad.
-- BERNAMA
#Air Selangor
#gangguan air
#ketiadaan air
#menyusahkan
#Pusat Khidmat Setempat
#Rawang
#Sungai Gong
#Sungai Selangor