Menyimpang daripada ajaran Islam: Mahkamah Persekutuan dengar rayuan SIS Forum

Bernama
Disember 2, 2024 20:30 MYT
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang mendengar rayuan SIS Forum (Malaysia) dan pengasas bersamanya, dimaklumkan bahawa mahkamah sivil boleh menyemak semula fatwa atas alasan perlembagaan serta statutori. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang mendengar rayuan SIS Forum (Malaysia) dan pengasas bersamanya, dimaklumkan bahawa mahkamah sivil boleh menyemak semula fatwa atas alasan perlembagaan serta statutori.
Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili SIS Forum, berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan telah memutuskan perkara itu beberapa kali sejak 2018 susulan keputusan bersejarah dalam kes membabitkan M.Indira Gandhi berkaitan penukaran agama secara satu pihak kepada Islam.
Beliau berkata bagaimanapun, keputusan majoriti Mahkamah Rayuan dalam kes serupa membabitkan SIS Forum, tidak mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan.
Malik berkata Mahkamah Rayuan sebaliknya memutuskan bahawa fatwa adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikai atau disemak semula oleh mahkamah.
Peguam itu, yang dibantu oleh A.Surendra Ananth, berkata demikian dalam rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Islam Selangor pada 2014 yang melabel SIS Forum sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Beliau juga berkata terdapat pelanggaran dari segi keadilan semula jadi kerana SIS Forum tidak diberikan hak untuk didengar sebelum fatwa itu diwartakan.
Panel yang mendengar rayuan itu terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Kumpulan hak asasi wanita itu (SIS Forum) dan pengasas bersamanya, Zainah Mahfoozah Anwar telah memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan fatwa tersebut, bagaimanapun mereka gagal di peringkat Mahkamah Tinggi pada Ogos 2019 serta Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas.
Mereka telah menamakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.
Fatwa itu, yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014, telah mengisytiharkan SIS Forum, mana-mana individu dan kumpulan yang mengguna pakai ideologi liberalisme dan pluralisme yang menyelewengadalah menyimpang daripada ajaran Islam.
Ia turut mengarahkan agar sebarang penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural berkaitan Islam hendaklah diharamkan dan disita serta meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menapis laman sesawang sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam serta hukum syarak.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili jawatankuasa fatwa, pula berhujah bahawa fatwa tidak terbuka kepada semakan kehakiman kerana ia tidak boleh disamakan dengan perundangan lain.
Beliau berkata SIS Forum tidak boleh membatalkan fatwa itu kerana semua prosedur perundangan telah dipatuhi dengan ketat dan terdapat ruang lain untuk kumpulan tersebut mencabar fatwa berkenaan.
Peguam Aidil Khalid, yang juga mewakili Jawatankuasa Fatwa, pula berkata SIS Forum telah diberikan peluang untuk didengar iaitu melalui dialog bersama pihak berkuasa agama negeri yang diadakan sebelum fatwa itu dikeluarkan.
Peguam Yusfarizal Yussoff mewakili MAIS manakala penasihat undang-undang negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid hadir bagi pihak kerajaan negeri.
Pendengaran ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
-- BERNAMA
#Mahkamah Persekutuan #rayuan #SIS Forum #menyimpang dari ajaran Islam
;