'Menyelam' buku terpakai di Kopi Buk
Bernama
September 17, 2023 17:04 MYT
September 17, 2023 17:04 MYT
KOTA BHARU: Terletak jauh dari kesibukan serta hiruk-pikuk kota, sebuah premis di pinggir Jalan Sultan Omar, Kampung Senang, di sini, mungkin kelihatan biasa pada pandangan umum.
Namun sebaik kaki melangkah masuk, pandangan pasti bertukar '360 darjah' melihat ribuan bahan bacaan yang ditawarkan di Kopi Buk, satu daripada dua kedai buku terpakai di Kota Bharu.
Bercakap kepada Bernama, pemilik Kopi Buk Amir Hamzah Abdul Shukor berkata dia mula menjual barangan terpakai seperti buku, majalah serta barangan antik bermula 2015, selepas terlibat dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dengan sebuah syarikat swasta di Kota Bharu.
"Sebelum itu saya memang sudah ada mengumpul pelbagai barangan antik, buku dan majalah sebagai koleksi peribadi, selepas VSS saya bersama isteri mengambil keputusan untuk jual koleksi tersebut sebagai sumber pendapatan, rupanya memang ada pasaran untuk barangan tersebut.
"Saya teruskan perniagaan tersebut dengan menyertai pasar karat di sekitar Kota Bharu dan juga di beberapa negeri lain sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketika itu semua perniagaan terpaksa ditutup.
"Ketika ini benda paling senang untuk dijual ialah buku, senang dapat dan mudah jual jadi saya mula fokus menjual buku terpakai bermula 2020," katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Menurut Amir Hamzah selepas mengambil keputusan untuk fokus kepada menjual buku terpakai, dia dan isteri mengubah bahagian stor rumah ibu mertuanya untuk dijadikan Kopi Buk.
Bagi peminat buku terpakai Kopi Buk pastinya lokasi 'menyelam' buat mereka mencari bahan bacaan idaman hati.
Bercerita lanjut, Amir Hamzah berkata ketika ini dia memiliki puluhan ribu buku, majalah, komik dan pelbagai bahan bercetak lain seperti surat khabar, risalah serta buletin.
"Di Kopi Buk ada pelbagai koleksi buku seperti genre ilmiah, sastera, sejarah dan novel.
"Bahan-bahan ini saya perolehi dari pelbagai sumber, sama ada beli daripada orang perseorangan, beli secara pukal daripada syarikat, sekolah, perpustakaan malah ada juga yang datang jual atau datang beri sahaja secara terus di kedai ini," katanya.
Ujar Amir Hamzah pelanggan Kopi Buk terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan mereka membeli secara dalam talian dari seluruh negara atau datang terus ke premis tersebut.
"Ada pelanggan yang membeli buku terpakai kerana nilai sentimental, mereka beritahu masa kecil dahulu tak sempat nak beli atau tiada wang ketika itu.
"Antara bahan bacaan terpakai yang mendapat permintaan tinggi ialah novel, komik dan majalah hiburan seperti URTV, Mangga dan Hai," katanya sambil menambah buku jualannya turut pernah dibeli pelanggan dari Thailand.
Amir Hamzah berkata berkata harga jualan buku terpakai ditetapkan berdasarkan harga pasaran semasa.
"Buku yang sudah lama diterbitkan, sukar diperolehi akan membuatkan harganya semakin mahal dan tinggi harganya.
"Buku paling murah saya jual pada harga 80 sen, manakala buku paling mahal pernah saya jual ialah Sejarah Kerajaan Melayu Patani yang ditulis pada tahun 1959, saya jual dengan harga RM800 pada satu acara di Kuala Lumpur," katanya.
-- BERNAMA