Menyedihkan... Bangkai ketiga gajah pygmy ditemukan di Kinabatangan
Radhi Muslim
November 3, 2019 18:13 MYT
November 3, 2019 18:13 MYT
Seekor bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui terapung di Sungai Kinabatangan, berdekatan Kampung Batu Puteh, hari ini.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian terbabit.
Difahamkan, sepasukan daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah telah dikerahkan untuk mendapatkan bangkai gajah tersebut agar bedah siasat dapat dijalankan.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berkaitan kejadian penemuan bangkai gajah itu yang terapung di sungai dan sepasukan pegawai JHL sudah dihantar ke lokasi terbabit.
“Orang awam terlihat ia terapung dan mereka sudah membantu menarik bangkai itu berdekatan tebing air.
“Namun, setakat ini kami belum menerima hasil pemeriksaan daripada pegawai di lapangan,” katanya ketika dihubungi, pada Ahad.
Setakat ini, sukar untuk menentukan bila dan lokasi sebenar gajah itu mati kerana haiwan itu ditemukan terapung di sungai itu.
Menurutnya, pihaknya akan memaklumkan perkembangan siasatan dari semasa ke semasa.
Penemuan itu adalah yang ketiga, selepas pada 25 September lepas, bangkai seekor gajah pygmy ditemukan di Sungai Dumpas, Kalabakan, Tawau dan satu lagi di sebuah ladang sawit di Beluran pada 19 Oktober.