Menyamar sebagai Raja Muda Perak, lelaki didenda RM4,000
Abd Hadi Che Awang
Ogos 22, 2022 13:06 MYT
Ogos 22, 2022 13:06 MYT
ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 39 tahun didenda sebanyak RM4,000 selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai Raja Muda Perak, dua bulan lalu.
Tertuduh, Mohammad Fadhil Lope, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Isnin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba mempercaya seorang petugas di Wisma Darul Aman dengan jalan samaran supaya dibenarkan bertemu dengan Sultan Kedah.
Kesalahan berkenaan dilakukan di Pejabat Sultan Kedah, Wisma Darul Aman, Alor Setar sekitar jam 11.30 pagi pada 28 Jun 2022.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melalukan kesalahan dibawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (KK), dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 7 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Majistret juga telah menetapkan agar tertuduh untuk menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda sebanyak RM4,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Asmaa' Zamri manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Syafiq Ahmad.
Astro Awani sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, petang Rabu lalu.
Polis turut merampas satu kad kuning yang tertera Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak yg dipercayai digunakan sewaktu berurusan di pejabat Sultan Kedah.
Suspek dikatakan memperdaya, seorang lelaki dan dua wanita, dengan datang ke pejabat Sultan Kedah dan memperkenalkan diri kerabat diraja dengan menggunakan satu kad kuning pada pukul 11.30 pagi 28 Jun lalu.
Kad tersebut memaparkan gelaran dan nama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.