Menutupi kelompongan 'alam kampus' dalam tempoh pandemik COVID-19

Mohd Zaini Othman
Februari 20, 2021 15:18 MYT
Mahasiswa memainkan peranan besar dalam membawa universiti dekat dengan masyarakat melalui pelbagai program berbentuk libat sama, khidmat komuniti, kesukarelawanan dan pemindahan ilmu. - Foto BERNAMA
KUMPULAN ibu bapa dan pelajar menyambut baik dan lega dengan jaminan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bahawa tiada pelajar daripada enam kategori yang dibenarkan kembali ke kampus pada 1 Mac ini akan diarah pulang ke rumah sebaik tiba di universiti masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad pada Khamis lalu semasa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut memberikan jaminan bahawa proses pendaftaran masuk semula pelajar ke kampus adalah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
KPT dalam satu kenyataan pada 31 Januari lalu memberi lampu hijau kepada enam kategori pelajar untuk kembali menyambung ‘kehidupan kampus’ mulai 1 Mac ini.
Kategori pertama adalah pelajar program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.
Kedua, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian; ketiga, pelajar asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid dan keempat, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom.
Kelima, pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan keenam, pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.
Kesemua kategori pelajar ini akan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara fizikal dan pengajian dalam talian di kampus masing-masing.
Walaupun sudah ada mahasiswa di kampus kelak untuk menjalani PdP, masih ada sesuatu yang masih ‘hilang’ buat mahasiswa kita iaitu aktiviti kokurikulum.
Aktiviti kokurikulum adalah pelengkap kepada peranan universiti untuk membentuk para graduan yang seimbang iaitu mempunyai intelektual yang cemerlang dan memiliki nilai jati diri yang unggul.
Ini kerana setiap program yang mereka anjurkan atau sertai, ia secara tersirat menggarap kemahiran serta mencerna sahsiah mereka sebagai modal insan berdaya saing dan berdaya maju.
Malah, aktiviti kokurikulum juga mempunyai peranan dalam pembentukan personaliti pemimpin pada diri mahasiswa dan Omardin (1996) juga menegaskan aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh universiti bertujuan untuk melahirkan pemimpin dalam kalangan mahasiswa.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sendiri misalnya membangunkan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) sebagai langkah strategik untuk menyediakan mahasiswanya sebagai graduannya yang memiliki elemen holistik, berkeusahawanan dan seimbang seperti dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.
Mahasiswa kita memainkan peranan yang besar dalam membawa universiti dekat dengan masyarakat melalui pelbagai program berbentuk libatsama, khidmat komuniti, kesukarelawanan dan pemindahan ilmu.
Penglibatan pelajar dalam program seumpama ini ternyata berjaya mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu sekaligus menjadikan mereka insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani, sahsiah dan kepimpinan.
Perlu diakui juga penganjuran pelbagai program kokurikulum oleh kelab dan persatuan pelajar inilah yang menghidupkan ‘alam dan kehidupan kampus’ dan berjaya mengasah dan membentuk kemahiran insaniah mereka sepanjang pengajian di universiti.
Justeru, dengan wujudnya kelompongan dalam pelaksanaan program kokurikulum di kampus pada waktu ini akibat pandemik COVID-19, maka ni adalah 'call time' kepada pengurusan dan pentadbir universiti untuk menerokai pendekatan dan solusi baharu untuk memastikan aspek pembinaan kemahiran insaniah, sahsiah dan kepimpinan masih boleh diterapkan kepada mahasiswa kita.
Norma baharu dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Sesungguhnya dalam proses untuk mendidik seorang mahasiswa di universiti, tidak semuanya boleh diambil alih oleh kecanggihan teknologi.

* Mohd Zaini Othman adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.
** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI #pengajaran dan pembelajaran #pendidikan #pandemik #COVID-19 #Majlis Keselamatan Negara #keselamatan #peperiksaan #kesihatan #kokurikulum #khidmat komuniti
;