Menuju PRU15: Bersih 2.0 lancar Kempen Ketuanan Pengundi
Rahimah Abdullah
September 15, 2021 13:23 MYT
September 15, 2021 13:23 MYT
KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 melancarkan Kempen Ketuanan Pengundi sempena Hari Demokrasi Antarabangsa yang disambut hari ini.
Pengerusinya, Thomas Fann berkata, ia akan menjadi kempen utama yang akan dibawa sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Fann, Kempen Ketuanan Pengundi bertujuan membawa semula fokus perbahasan negara agar mengutamakan pengundi berbanding perkara lain.
"Sejak PRU 2018, kita telah menyaksikan peningkatkan komplot politik antara parti dan ahli politik yang amat teruk dengan permainan sentimen agama dan bangsa oleh ahli politik terhadap beberapa insiden, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan selepas 22 bulan, diikuti kejatuhan enam kerajaan negeri selepas itu dan percubaan terdesak Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berpaut pada kuasa melalui penggantungan parlimen dan deklarasi darurat sehingga akhirnya meletak jawatan dan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ketiga dalam tiga tahun.
"Semua gerakan politikus ini menafikan kebajikan dan hak rakyat dan kita hanya dapat menonton sahaja sandiwara sementara ahli politik cuba merebut kuasa walaupun COVID-19 di luar kawalan dan jutaan kehilangan punca hidup akibat sekatan pergerakan yang berterusan," katanya semasa pelancaran Kempen Ketuanan Pengundi secara maya pada Rabu.
Fann berkata, kini sudah sampai masa untuk rakyat menegaskan semula 'ketuanan' mereka dalam demokrasi berparlimen agar wakil rakyat mula bekerja untuk masyarakat semula
"Apabila kita mengundi pada setiap pilihan raya, kita laksanakannya bukan sekadar tanggungjawab negara, tetapi undi kita membawa aspirasi setiap pengundi ke arah masa depan yang lebih baik.
"Di mana Kerajaan yang terpilih akan melaksanakan polisi yang lebih berkesan agar impian kita dapat dicapai dan undang-undang melindungi kita," ujarnya lagi.
Melalui kajian dan libat urus pemegang-pemegang taruh katanya, Bersih 2.0 telah mengenal pasti kelemahan struktur dan halangan sistem pilihan raya dan politik yang melemahkan hak pengundi, melumpuhkan institusi utama serta memperkukuhkan eksekutif secara tidak adil sehingga mengetepikan pembangkang.
Justeru, katanya, Kempen Ketuanan Pengundi membawa semua pembaharuan penting dalam enam tuntutan bagi memperkasakan hak pengundi dan meratakan permainan politik pada semua parti.
1. Jangan nafikan undi kami iaitu reformasi SPR, Undi 18, daftar automatik dan perluasan undi
2. Hentikan lompat parti susulan Langkah Sheraton dan sejak PRU14
3. Jaminkan autonomi parlimen iaitu mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen dan memperkasakan jawatankuasa pilihan parlimen
4. Hak membantah termasuk desak mansuh Akta Hasutan
5. Tolak undang-undang dua darjat iaitu reformasi pelantikan jawatan utama kerajaan dan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
6. Perkasakan suara pembayar cukai iaitu menyelaraskan kuasa dan pengembalian pilihan raya tempatan.
Bersih 2.0 juga bercadang untuk menjadikan setiap 15 September sebagai Hari Kempen Ketuanan Pengundi.
#Bersih
#PRU
#pilihan raya umum
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#undang-undang
#pilihan raya
#pembangkang
#Perdana Menteri
#Peguam Negara
#Pakatan Harapan
#kerajaan
#Parlimen
#cukai
#COVID-19