Menuju negara tua 2030: Kerajaan perlu fokus bangunkan ekonomi penuaan - Pakar

Fareez Azman
September 17, 2022 18:35 MYT
Kerajaan perlu melihat dari sudut menyediakan warga emas yang aktif dan mampu menyumbang kepada negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan agar lebih menumpukan sudut sokongan ekonomi penuaan terutama terhadap warga emas bagi menambah baik persediaan Malaysia menjadi negara tua pada tahun 2030.
Menurut Ketua Laboratori Gerontologi Sosial, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Zumilah Zainalaludin, kerajaan perlu melihat dari sudut menyediakan warga emas yang aktif dan mampu menyumbang kepada negara.
"Warga emas ini dinamik, bukan semua warga emas berusia 60 tahun ke atas itu sudah tidak mampu begitu dan begini, ada banyak peringkat warga emas.
"Contoh pembangunan ekonomi penuaan, kerajaan perlu memberi perhatian serius dalam persediaan membangunkan ekonomi penuaan secara aktif supaya kita dapat menarik pelabur dalam sektor ini.
"Kita sedang menua dan akan menjadi negara tua, jadi kita perlukan penglibatan semua pihak sama ada orang muda, dan juga orang dalam dan luar negara supaya ekonomi kita aktif dan menyumbang sektor ekonomi penuaan, akan memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara," jelasnya.
Tambah Zumilah, ketika ini kesedaran masyarakat terhadap warga emas dan status Malaysia bakal menjadi negara tua sudah ada, namun perlu diperbaiki dari pelbagai sudut terutama persepsi dan ideologi.
"Cuma menjawab persoalan cukup atau telah bersedia jawapannya, tentunya kita perlu banyak lagi penambahbaikan di sana sini bermula dari peringkat polisi, sehingga infrastuktur.
"Banyak lagi perlu kita buat, harapnya semua pihak semakin cakna dalam menjadi negara tua," katanya lagi.
Mengulas lanjut tambah Zumilah, pelbagai inisiatif perlu disediakan kerajaan dalam memastikan warga emas terus aktif dan membantu negara dari sudut ekonomi.
Antaranya pengenalan inisiatif cukai, bimbingan perniagaan, pusat penjagaan harian dan pengangkutan awam yang boleh diambil perhatian.
"Saya memandang inisiatif cukai dan inisiatif peniagaan untuk menyokong pembangunan ekonomi penuaan.
"Bukan menafikan sektor kesihatan, tapi kita perlu melihat secara berimbang antara peruntukan penambahan perbelanjaan kesihatan dan kita imbangkan inisiatif seperti cukai, syarikat perintis mereka terlibat dalam ekonomi silver atau ekonomi penuaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Sabtu.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan Malaysia dijangka mencapai status ‘negara tua’ menjelang 2030 apabila dijangka 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara adalah berusia 60 tahun dan ke atas.
Ia bermakna populasi warga emas ketika itu akan menjangkau 5.8 juta orang daripada keseluruhan 38.1 juta jumlah penduduk negara.
#Malaysia #negara tua #pakar #Ekonomi penuaan
;