Menuju bandar pintar, 800 CCTV dipasang di sekitar Kuching

Afiezul Samit
Januari 8, 2021 16:17 MYT
Dr Sim diberi penerangan mengenai lokasi pemasangan CCTV di Kuching. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) memulakan pemasangan 800 kamera litar tertutup (CCTV) di 200 lokasi di Kuching dan Samarahan.
Menterinya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ini antara inisiatif kerajaan negeri dalam menukar status Kuching menjadi bandar pintar.
Jelasnya CCTV ini bukan hanya bertujuan bagi memantau aktiviti jenayah,dan trafik, pada masa sama membantu pengurusan proses pengutipan sampah.
"Saya akan bekerjasama dengan pihak Trienekens Sdn Bhd untuk memastikan lori sampah mereka juga dibekalkan dengan sistem pintar.
"Perkara ini penting bagi mengelakkan isu sampah tidak dikutip berlaku dan juga mengatur jadual pengutipan sampah yang sesuai mengikut kawasannya," jelas Dr Sim.
Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr Zaidi Razak, menjelaskan Pusat Operasi Bersepadu Sarawak (SIOC) turut diwujudkan bagi memusatkan semua maklumat yang diperoleh daripada rakaman CCTV berkenaan.
"CCTV, yang terletak di kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Padawan dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan akan menyalur maklumat kepada SIOC melalui rakaman data sepanjang masa," katanya.
Jelas Dr. Zaidi, rangkaian CCTV ini akan mewujudkan persekitaran yang selamat untuk masyarakat di samping mencegah berlakunya jenayah dan vandalisme.
Ia juga berperanan sebagai sistem amaran awal banjir.
Data yang dihasilkan daripada rangkaian CCTV katanya, akan menyumbang kepada inisiatif strategik data raya negeri bagi mempercepat perjalanan transformasi digital Sarawak," tambahnya.
#CCTV #Kuching #MBKS #Dr Sim Kui Hian #Sarawak
;