Menu Rahmah tetap relevan, tidak ganggu model perniagaan

Bernama
Mac 2, 2023 17:00 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) menunjukkan antara Menu Rahmah yang disediakan di sebuah restoran sempena pelancaran Menu Rahmah Peringkat Negeri Kelantan, hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Pelaksanaan program Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan harga serendah RM5 tetap relevan dan tidak mengganggu model perniagaan kedai makan atau restoran terlibat.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata Menu Rahmah bukan sahaja membantu restoran makanan itu untuk lebih maju malah memberi nilai tambah kepada premis terbabit dari segi promosi dan sebagainya.
"Menu Rahmah ini tetap relevan dan kita tidak akan usik model perniagaan kedai makan atau restoran itu, malah kita akan tolong promosi untuk mereka.
"Kita harap lebih ramai peniaga yang berminat untuk menyertai program Menu Rahmah kerana penyertaan peniaga dalam program ini adalah secara sukarela untuk sama-sama membantu masyarakat yang memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Menu Rahmah Peringkat Negeri Kelantan di Pasir Tumboh, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail.
Salahuddin berkata sebanyak 1,142 pengusaha makanan di seluruh negara kini berdaftar bagi menawarkan Menu Rahmah di premis mereka tidak termasuk restoran makanan segera.
"KPDN akan terus bersama-sama membantu mempromosikan kedai makan yang menjayakan Menu Rahmah itu.
"Di Kelantan pula, terdapat 90 premis makanan menyertai program ini dan saya rasa gembira dengan inisiatif peniaga-peniaga ini kerana tanpa paksa menyertai program untuk kebajikan..," katanya.
Pada 31 Jan lepas, Salahuddin melancarkan Menu Rahmah bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
-- BERNAMA
#kpdn #Menu Rahmah #kebajikan #Kedai makan
;