'Menu Rahmah RM4.90 masih menguntungkan peniaga'

Astro Awani
Januari 29, 2023 22:13 MYT
Pemilik bersama Restoran Tomyam Udang Galah Subang 2, Malik Hassan Mohamed menunjukkan hidangan Menu Rahmah berharga RM4.90 yang ditawarkan kepada pelanggan. - Gambar Astro AWANI
SHAH ALAM: Menu Rahmah, iaitu hidangan makanan pada harga RM5 ke bawah mula menjadi inisiatif baharu kerajaan pada ketika ini dalam usaha menangani isu kos sara hidup rakyat.
Namun, bagaimana peniaga akan dapat menyediakan hidangan makanan itu ketika harga bahan mentah yang masih lagi tidak stabil?
Dan, adakah standard penyediaan hidangan bajet itu selari harga dan kualiti makanannya?
Bagi pemilik bersama Restoran Tomyam Udang Galah Subang 2 yang terletak di Shah Alam, Selangor, Malik Hassan Mohamed, beliau sudah lama menyediakan hidangan bajet untuk pelanggan yang memerlukan makanan pada harga rendah.
Apabila kerajaan mengumumkan mengenai Menu Rahmah, hidangan bajet berkenaan ditukar dengan nama berkenaan.
"Sebelum ini saya lihat pelanggan saya kalangan penghantar makanan, sebelum mereka balik, mereka akan singgah makan di sini. Ada dua atau tiga meja mereka duduk, saya tengok mereka selalu memesan menu bajet iaitu nasi putih, dengan sup kosong. Dari situ, kami buat set bajet tetapi dengan memasukkan sekali ayam atau ikan dan sayur.
"Apabila saya dengar kerajaan umum mengenai Menu Rahmah ini, sekali gus saya tengok ia menepati menu bajet saya ini," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Menurut Malik, pada ketika ini, ada tiga hidangan Menu Rahmah disediakan untuk pelanggan, iaitu nasi ayam paprik, nasi khao mok, dan nasi berlauk ayam.
Kadang-kala, lauk ayam akan digantikan dengan ikan.
Rasa dan kualiti makanan dikekalkan sama seperti hidangan pada harga biasa, namun, saiz ayam dipotong pada harga bajet.
"Biasanya menu itu harga asal RM7, tetapi kalau dia nak harga bajet, kita boleh bagi pada harga RM4.90. Kita guna ayam yang dipotong 16. Kalau harga biasa RM7 ayam dibelah lapan," jelasnya.
Malik juga gembira dapat menyediakan Menu Rahmah kerana walaupun menerima keuntungan pada kadar minima iaitu 80 sen hingga RM1.50 sahaja bagi satu hidangan bajet RM4.90.
Namun, pada masa sama, inisiatif itu akan dapat membantu mengurangkan beban kewangan mereka yang berpendapatan rendah.
Hidangan Menu Rahmah itu bagaimanapun tidak terhad kepada pelanggan dari golongan berpendapatan rendah sahaja.
Ini kerana kata Malik, sesiapa sahaja boleh menikmati hidangan bajet itu di kedainya.
Justeru, pemilik restoran ini berharap kerajaan berusaha mempromosikan Menu Rahmah bagi memastikan semua lapisan masyarakat khususnya dapat mendapat manfaatnya dan pada masa sama, golongan peniaga turut mendapat keuntungan di sebalik inisiatif mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Kerajaan bagaimanapun diharap terus membantu peniaga dengan mencari mekanisme untuk mengawal harga bahan mentah bagi memastikan harga akhir makanan yang dikenakan kepada pengguna dapat diturunkan.
Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan pengenalan Menu Rahmah iaitu hidangan makanan pada harga RM5 ke bawah khusus untuk golongan miskin tegar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata menu merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur akan dilaksanakan selepas kementerian memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia, minggu depan.
BACA: KPDN cadang kedai makan perkenal Menu Rahmah bawah RM5
#Menu Rahmah #Restoran Tomyam Udang Galah Subang 2 #Malik Hassan Mohamed #rakyat
;