Menu Rahmah: KPDN Kedah sasar 200 premis menjelang Ramadan
Abd Hadi Che Awang
Mac 9, 2023 12:58 MYT
Mac 9, 2023 12:58 MYT
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah meletakkan sasaran 200 restoran atau kedai makan di negeri itu mengguna pakai konsep Menu Rahmah di premis masing-masing sebelum memasuki bulan Ramadan tahun ini.
Menurut Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth, setakat ini, kira-kira 150 premis makanan di negeri Jelapang Padi itu telah menyediakan Menu Rahmah yang mana jumlah itu menghampiri sasaran awal yang dibuat.
"Kita sedang menghampiri 'target' itu dan insya-Allah pada pertengahan bulan ini (ataupun secara spesifiknya) sebelum (bulan) puasa, kita harap (jumlah kedai yang menawarkan Menu Rahmah) akan (meningkat) menuju ke 200,
"Harap (semua) doakan, insya-Allah (sasaran kita adalah sebanyak) 200 kedai akan tawarkan Menu Rahmah di seluruh Kedah, setakat ini (jumlah sebenarnya adalah) menghampiri 150 (premis makanan)"," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Program Jualan Rahmah Pra Ramadan di Kompleks Belia dan Sukan Kedah, Jalan Stadium Alor Setar pada Khamis.
Program berkenaan adalah salah satu platform bagi memberikan peluang kepada hampir 200 individu yang mana rata-ratanya adalah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga yang jauh lebih murah.
Antara barangan yang dijual adalah, ayam mentah, beras, telur, minyak masak, tepung, gula dan juga barangan keperluan dapur yang lain.
Dalam perkembangan sama, Affendi memaklumkan bahawa pihaknya akan memperluas konsep Menu Rahmah di bazar-bazar Ramadan sekitar Kedah.
Bagaimanapun, KPDN Kedah ketika ini masih melakukan perbincangan lanjut bersama peniaga bazar Ramadan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mencari mekanisme terbaik dalam menjayakan program yang direncanakan itu.