Menu Rahmah: "Kami tak kira warga asing atau rakyat Malaysia...." - Pemilik Ali Maju
Hasimi Muhamad
Februari 1, 2023 16:39 MYT
Februari 1, 2023 16:39 MYT
KUALA LUMPUR: "Konsep kami ini lebih kepada amal jariah dan menyumbang. Pada kami yang selebihnya kami tampung dan kami tak kisah sama ada mereka warga asing ataupun rakyat Malaysia."
Demikian kata pemilik Rangkaian Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berhubung pelaksanaan Program Menu Rahmah pada harga RM5 yang mula dilaksanakan pada Selasa.
Menurut beliau, setakat ini semua 15 rangkaian restorannya akan menawarkan dua menu kepada mana-mana pelanggan tanpa mengira latar belakang dan warganegara.
"Soalan lazim yang ditanya, macam mana kita menyaring dan siapa yang layak dapat harga Menu Rahmah? Itu bukan kerja kita lah (untuk saring pelanggan).
"Selagi pelanggan datang, kita dah paparkan satu tanda yang menunjukkan Menu Rahmah dan ada contoh Menu Rahmah, automatik kalau pelanggan minta, siapa pun dia, kita akan berikan Menu Rahmah tersebut.
"Setakat ini kita ada dua menu iaitu nasi putih bersama ayam dan sayur; nasi putih bersama ikan dan sayur serta percuma air. Bagi kedua-dua pek yang saya sebut tadi, harga asalnya lebih kurang RM9 hingga RM9.50. Maknanya, kita berikan potongan hampir 50 peratus," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Jawahar berkata, beliau terpanggil untuk mewujudkan Menu Rahmah kerana memikirkan beban kos sara hidup dan kewangan yang perlu ditanggung oleh orang awam di negara ini.
Untuk peringkat awal, beliau menjelaskan, Menu Rahmah akan disediakan dalam tempoh tiga bulan dan jika mendapat sambutan, perkara itu akan dipertimbangkan untuk dilanjutkan.
"Setakat ini masa untuk Menu Rahmah kami bercadang bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang. Tetapi kalau mana-mana pelanggan yang datang selepas itu waktu itu dan minta adakan Menu Rahmah, Insya-Allah kita akan bagi juga. Maknanya, tiada rangka masa.
"Pada saya, hasrat kami adalah untuk membantu kerajaan dan terpanggil dengan idea yang dilontarkan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub. Lagi satu yang kita perlu faham konteks ialah bukan semua wajib (laksanakan Menu Rahmah)," ujarnya.
Ditanya adakah Menu Rahmah boleh dilaksanakan ketika harga bahan mentah masih mahal, Jawahar berkata, ia terpulang kepada pengusaha kedai makan masing-masing.
"Jangan kata untung ke tidak, atau harga barang sedang naik... memang sedang naik. Selalu saya sebut hujan sahaja yang turun buat masa ini, yang lain tiada lagi turun (harga barangan).
"Tetapi dalam konteks kalau kita nak menyumbang sesuatu, ia mungkin boleh dilaksanakan," katanya yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).
Bermula Selasa (semalam), rakyat Malaysia khususnya B40 boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara melalui Program Menu Rahmah.
Menu Rahmah merupakan hidangan seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan untuk membantu golongan yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
Restoran yang terlibat dalam program itu ialah ahli daripada tujuh persatuan antaranya Presma, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) serta Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.
Pelaksanaan program itu juga membabitkan ahli Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA), Persatuan Peruncit Bumiputra Malaysia (BRO), Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Peruncit Malaysia (MRA).