Menu Rahmah jadi 'buruan', bantu rancakkan perniagaan kedai makan

Bernama
Julai 11, 2023 09:15 MYT
Sehingga kini terdapat lebih 100 premis makanan di seluruh Kelantan menawarkan Menu Rahmah. - Gambar hiasan/BERNAMA
KOTA BHARU: Inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan, menjadi 'buruan' terutamanya dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi di sekitar bandar ini selain menjadi pilihan pelanggan golongan berpendapatan rendah (B40).
Pemilik Ayang Cafe Nor Hazelizan Mamat, 45, berkata keadaan itu membolehkan perniagaan restorannya yang sebelum ini suram selepas pasca COVID-19, kembali rancak sehingga mampu meraih hampir RM1,000 sehari menerusi 10 Menu Rahmah yang ditawarkan.
"Menu Rahmah menjadi pilihan pelanggan memandangkan setiap set iaitu nasi ayam gulai dengan teh o ais, set roti ayang dengan teh o ais dan nasi kerabu bersama teh o ais cuma berharga RM5.
"Pada masa yang sama, saya berharap kerajaan dapat memantau harga barangan basah dan keperluan harian dari semasa ke semasa agar ia tidak membebankan peniaga yang mengambil bahagian menawarkan Menu Rahmah dan peniaga pula mendapat pulangan modal," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan Nik Muhammad Luqman Al-Hakim, 23, berkata Menu Rahmah yang ditawarkan oleh peniaga menjadi 'penyelamat' bagi golongan pelajar sepertinya.
"Menu berkhasiat merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur hanya dijual serendah RM5 termasuk minuman sememangnya mampu menjimatkan kos perbelanjaan harian pelajar dan saya berharap agar menu ini diperkenalkan dengan lebih meluas," katanya.
Bagi peniaga ayam, Zarina Abdullah, 50, Menu Rahmah bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada pengusaha kedai makan, bahkan ia turut memberi manfaat kepada pembekal barangan mentah.
Menurutnya beliau dapat menjual antara 150 sehingga 200 ekor ayam mentah kategori rahmah yang berharga sekitar RM15 seekor kepada hampir tujuh pengusaha kedai yang menawarkan Menu Rahmah di sekitar Kota Bharu.
"Kebiasaannya pengusaha kedai makan akan menempah sehari sebelum untuk mendapatkan ayam mentah kategori rahmah yang bersaiz lebih kecil berbanding ayam bersaiz biasa yang dijual di pasar," katanya.
Sementara itu, Pengarah KPDN negeri Azman Ismail berkata sehingga kini terdapat lebih 100 premis makanan di seluruh Kelantan menawarkan Menu Rahmah.
"Daripada jumlah itu, Kota Bharu mempunyai premis terbanyak yang menawarkan menu berkenaan, diikuti Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang," katanya.
-- BERNAMA
#Menu Rahmah #pelajar IPT #B40 #COVID-19
;