Menu Rahmah hanya reaksi, bukan polisi - Wan Fayhsal

Ridauddin Daud
Februari 26, 2023 11:50 MYT
Wan Ahmad Fayhsal berkata, banyak manifesto dan janji yang ditawarkan kerajaan tidak ditunaikan dan memerlukan penjelasan daripada menteri terbabit. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan tidak memberi tumpuan penuh kepada usaha pemulihan negara tetapi banyak melakukan politik balas dendam.
Demikian dakwa Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berkata, politik balas dendam tidak bagus untuk kerajaan kerana pada akhirnya, ia akan melemahkan kerajaan itu sendiri.
Menurutnya, berdasarkan beberapa keputusan sebelum ini, kerajaan secara umumnya disifatkan gagal menangani keluhan rakyat.
“Menu Rahmah, ini hanya reaksi, bukan polisi, tidak boleh kekalkan pun. Datuk Mydin (Datuk Ameer Mydin) pun dah beri pandangan beliau, dan ia beri kesan kepada peniaga lain yang tidak mampu menawarkan harga sebegitu.
“Jadi, ini bukan tanggungjawab Menteri Kepenggunaan. Sepatutnya kena ada dasar untuk mengawal harga barang, bukan sekadar itu.
“Kalau kita lihat, banyak manifesto, janji-janji yang ditawarkan sebelum ini tidak ditunaikan tetapi dijanji. Jadi, benda ini perlu penjelasan yang jelas daripada menteri-menteri terbabit,” katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen, di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, kerajaan perlu memastikan ekonomi rakyat dan dasar mesra pelabur dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Begitupun, beliau menegaskan, Perikatan Nasional masih tidak nampak perancangan teliti berhubung perkara tersebut.
#Menu Rahmah #Wan Fayhsal #politik balas dendam #Perikatan Nasional
;