Menteri, Timbalan Menteri zahir takziah pemergian Allahyarham Salahuddin

Bernama
Julai 23, 2023 00:24 MYT
Salahuddin meninggal dunia pada 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah(HSB) Alor Setar, Kedah. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri, timbalan menteri dan pemimpin negara menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia malam ini.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata jasa Allahyarham yang mencetuskan Inisiatif Payung Rahmah antaranya Menu Rahmah dan Jualan Rahmah, sangat besar dalam membantu mengurangkan beban rakyat.
"Dalam politik, saya akan sentiasa kenang saat-saat indah, perit, senang dan susah terutama dalam Majlis Pimpinan Pakatan Harapan. You will be missed, dear friend (Kami akan merinduimu, sahabatku)," katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya.
Salahuddin, 61, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram meninggal dunia pada 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah(HSB) Alor Setar, Kedah.
Semalam, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal memaklumkan Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang mengucapkan takziah buat seluruh keluarga Allahyarham.
"Terkejut dengan berita pemergian rakan saya (dalam Jemaah Menteri). Satu kehilangan besar buat negara dan semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," katanya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan dosa, diterima segala amal ibadahnya serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan Salahuddin sebagai tokoh yang memperjuangkan Konsep Rahmah bagi membantu meringankan beban rakyat.
"Semoga Allah merahmati serta mengampunkan dosa Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Saya juga mendoakan ketabahan buat ahli keluarga Allahyarham dalam menghadapi ujian yang berat ini," katanya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau amat sedih menerima berita pemergian Allahyarham yang juga sahabatnya.
"Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan semoga diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini. Seluruh negara tentunya amat berdukacita atas kehilangan ini. Negara kehilangan sebutir permata," katanya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli turut merakamkan takziah terutama buat keluarga Allahyarham Salahuddin dan rakan-rakan Parti Amanah Negara (Amanah) atas kehilangan besar ini.
#Salahuddin Ayub #pendarahan otak #Pakatan Harapan #ucapan takziah
;