Menteri tidak pernah suruh petani guna jalan laut

Bernama
Mac 13, 2019 05:05 MYT
Penularan paparan di Facebook yang tular itu dianggap berniat jahat dan hanya bertujuan memburukkan nama Salahuddin. - Gambar fail
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub tidak pernah menyuruh petani menggunakan jalan laut sebagai usaha mengawal kesesakan jalan raya seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut setiausaha akhbar menteri itu, Alyaa Azhar, Salahuddin tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian dan perkara itu adalah palsu dan fitnah semata-mata.
"Paparan di Facebook yang setakat ini dikesan telah dikongsikan oleh pengguna Facebook Esmee bin Mat Isa dan Zahari Sulaiman menunjukkan pernyataan seolah-olah Yang Berhormat (YB) Menteri memberi saranan tersebut dan kenyataan tersebut seolah-olah telah dilaporkan oleh pihak media.
"Kenyataan ini secara jelas dan sememangnya tidak masuk akal dan penularan paparan ini ternyata berniat jahat dan tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk memburukkan nama YB Menteri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Alyaa berkata beberapa laporan polis akan dibuat berhubung isu ini memandangkan sudah beberapa kali Salahuddin diftnah sebelum ini.
-- BERNAMA
#Facebook #fitnah #jalan laut #jalan raya #kenyataan palsu #kesesakan #laporan polis #Media #media sosial #Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani #petani #Salahuddin Ayub #setiausaha akhbar #Tular
;