Menteri terlibat rasuah wajib digugurkan - Anwar
Hasimi Muhamad
Februari 29, 2024 14:00 MYT
Februari 29, 2024 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pimpinan kerajaan yang didakwa terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pihak berkuasa berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menyiasat mana-mana pemimpin dalam kerajaaan.
Menurut Anwar, jika benar ada yang terpalit dengan rasuah, beliau tidak teragak-agak untuk menggugurkan individu berkenaan daripada barisan Kabinet.
“Tetapi peringatan itu jelas, SPRM takkan mungkin mengecualikan siasatan ke atas pimpinan yang ada sekarang atau memantau setiap tender atau keputusan yang dibuat.
“Kalau ada saya katakan jangan tanya saya, persila ambil tindakan dan orang-orang berkenaan wajib digugurkan, baru boleh negara ini selamat,” katanya di sini, pada Khamis.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam tempoh lebih setahun Kerajaan Madani mentadbir negara, tiada mana-mana pemimpin yang terbukti terlibat dengan aktiviti rasuah, setakat ini.
Malah, beliau menggesa mana-mana pihak untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mempunyai bukti mengenai rasuah dalam kalangan pemimpin kerajaan.
“Sudah setahun lebih kita perintah, banyak diserang tetapi saya tanya di Parlimen dan luar Parlimen, beri satu bukti menteri atau Perdana Menteri sekarang, kalau ada yang rasuah.
“Tanya Tan Sri Azam Baki, kalau ada siasat, kita siasat, dakwa dan ikut badan kehakiman (untuk) hukum,” tambah beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di ibu negara, hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Eksekutif HRD Corp; Datuk Shahul Dawood.
Lebih 1,300 peserta hadir sidang kemuncak berkenaan yang bertemakan 'Memupuk Integriti dan Tadbir Urus yang Baik Dalam Pembangunan Modal Insan'.