Menteri syor PBT adakan mesyuarat secara 'live'

Umavathi Ramayah
Ogos 6, 2020 12:07 MYT
Zuraida berkata, KPKT sedia untuk memberikan peruntukan tambahan sekiranya semua PBT bersetuju untuk mengadakan mesyuarat pihak berkuasa tempatan secara lintas langsung. - Gambar fail
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengadakan mesyuarat penuh secara live streaming kepada umum termasuk wakil media.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, amalan itu adalah selari dengan Seksyen 23, Akta Kerajaan Tempatan 1976(Akta 172) untuk memastikan segala pembangunan, pengurusan dan masalah PBT boleh dikongsi bersama rakyat bagi mewujudkan kesejahteraan bersama.
Katanya, program live streaming bertujuan memberikan akses secara maya kepada rakyat setempat bagi mengikuti mesyuarat penuh Majlis PBT.
"Melalui pendekatan ini, rakyat akan dapat menilai dan mengukur ketelusan dan tadbir urus PBT dengan berkesan.
"Antara lain, ia juga dapat membantu rakyat mengetahui perkembangan perancangan pembangunan setempat selain meningkatkan keyakinan mereka terhadap ketelusan dan profesionalisme pegawai PBT," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin yang bertanyakan sama KPKT bercadang untuk meningkatkan hebahan mengenai mesyuarat PBT kepada orang awam.
Untuk tujuan itu, Zuraida berkata, kementeriannya sedia untuk memberikan peruntu\kan tambahan sekiranya semua PBT bersetuju untuk mengadakan mesyuarat pihak berkuasa tempatan secara lintas langsung.
Namun begitu, katanya, keputusan PBT untuk mengadakan mesyuarat penuh secara terbuka tertakluk kepada pihak berkuasa negeri masing-masing.
Menurutnya, sebanyak 320 program live streaming Mesyuarat Penuh Majlis PBT telah dilaksanakan oleh PBT sejak tahun 2017 sehingga Jun 2020.
#Dewan Rakyat #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #live #Parlimen #pihak berkuasa tempatan
;