Menteri Singapura Dr Maliki Osman lakukan lawatan kerja ke Kelantan, Terengganu
Bernama
April 15, 2023 16:23 MYT
April 15, 2023 16:23 MYT
SINGAPURA: Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura yang juga Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Dr Maliki Osman akan melakukan lawatan kerja ke Kelantan dan Terengganu mulai hari ini hingga 19 April.
"Lawatan itu adalah sebahagian daripada usaha Singapura untuk mengukuhkan lagi hubungan yang sudah terjalin sejak sekian lama dengan negeri-negeri di Malaysia dan meneroka bidang kerjasama baharu," menurut kementerian luar (MFA) republik itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian itu berkata Maliki akan menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.
Beliau juga akan bertemu Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pemimpin lain di kedua-dua negeri.
Selain bertemu dengan pegawai kerajaan, Maliki yang juga Menteri Pendidikan Kedua Singapura - akan bertemu penuntut Universiti Malaysia Terengganu.
-- BERNAMA
#Maliki Osman
#Menteri Kedua Hal Ehwal Luar
#Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura
#lawatan kerja ke Kelantan Terengganu