Menteri Sabah Siringan Gubat meninggal dunia

Ruzaini Zulkepli
Mac 20, 2018 07:48 MYT
Siringan yang berusia 68 tahun dimasukkan oleh ahli keluarganya ke Hospital Gleneagles selepas mengadu sesak nafas.
Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Siringan Gubat meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, malam tadi.
Mendiang yang juga pemangku Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 malam.
Terdahulu, mendiang yang berusia 68 tahun dimasukkan oleh ahli keluarganya ke Hospital Gleneagles selepas mengadu sesak nafas.
Ketua Penerangan UPKO Albert Bingkasan ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi mengesahkan kejadian itu.
"Urusan pengebumian mendiang dijangka akan diketahui pada pagi ini.
"Sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
Pemergian Siringan adalah kali kedua menteri di Sabah yang meninggal dunia dalam tempoh seminggu.
Minggu lalu, negeri Sabah turut menerima perkhabaran dukacita selepas kehilangan seorang tokoh politik UMNO dan Barisan Nasional (BN), Menteri Belia dan Sukan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Allahyarham, 56 tahun, meninggal dunia akibat kanser.
#Albert Bingkasan #meninggal dunia #menteri #pengebumian #Sabah #sesak nafas #Siringan Gubat
;