Menteri pulang dari luar negara ke Sarawak tetap dikuarantin 14 hari - Dr Sim

Astro Awani
Februari 10, 2021 02:35 MYT
Jelas Dr Sim, sesiapa pun, termasuk menteri yang masuk ke Sarawak dari luar negara, tetap menjalani kuarantin 14 hari dan ujian calitan pada hari kesepuluh. -Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sarawak kekal dengan keputusan memerintahkan sesiapa sahaja yang memasuki negeri itu menjalani kuarantin wajib 14 hari di hotel atau pusat kuarantin yang disediakan.
Ini bermakna arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengurangkan tempoh pemerhatian bagi menteri yang pulang dari mana-mana lawatan rasmi luar negara dikurangkan daripada 10 hari kepada tiga hari, tidak terpakai di negeri itu.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menjelaskan Kerajaan Negeri Sarawak tidak bercadang mengubah keputusan berkenaan buat masa ini.
“Polisinya tetap sama iaitu mereka yang kembali dari luar negara perlu dikuarantin 14 hari.
“Ujian calitan akan dilakukan pada hari kesepuluh, tidak kira sama ada mereka menteri, Ahli Parlimen, ADUN atau VIP,” jelasnya.
Tambah Dr Sim, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan sebelum membuat sebarang perubahan kepada polisi sedia ada.
Selasa lepas, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengeluarkan perintah supaya mana-mana Menteri yang kembali daripada lawatan rasmi di luar negara supaya menjalani tempoh pemerhatian selama tiga hari.
#COVID-19 #Sarawak #Dr Sim Kui Hian #kuarantin tiga hari #pusat kuarantin #KKM #Kementerian Kesihatan Malaysia #Adham Baba