Menteri, perwakilan asing merafak sembah ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan Agong
Bernama
Jun 6, 2022 19:42 MYT
Jun 6, 2022 19:42 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri dan perwakilan asing merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi hari ini.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi ciapan di Twitter rasminya memanjatkan doa agar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama putera, puteri serta seluruh Kerabat Diraja berada dalam lindungan dan rahmat Allah.
"Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada 6 Jun 2022," katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut merafak sembah serta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan Dirgahayu kepada Seri Paduka.
"Semoga Tuanku Baginda sentiasa diberikan keafiatan bersemayam di singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan. Daulat Tuanku," katanya.
Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta seluruh warga kementeriannya turut mendoakan kesejahteraan Seri Paduka menerusi Twitter rasminya.
"Patik serta seluruh warga @MINDEFMalaysia dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) doakan semoga Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi ATM sentiasa didampingi kerahmatan, dipayungi keberkatan, diiringi perlindungan dari segala musibah serta dilanjutkan usia," katanya menerusi Twitter.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin turut mengambil kesempatan merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Patik dan seluruh warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mendoakan semoga Allah SWT melimpahkan segala kurniaNya dan rahmatNya kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta diberikan kesihatan dan keafiatan yang berpanjangan," katanya.
Selain itu, Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko, turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong menerusi Twitter rasmi beliau.
"Patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda hari ini," katanya.
Kedutaan Perancis turut mengucapkan tahniah sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka menerusi Twitter.
"Setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda dari Kedutaan Perancis di Malaysia," menurut akaun Twitter Kedutaan Perancis di Malaysia.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Dr Justin Lee turut menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka.
"Daripada kami semua di Suruhanjaya Tinggi, setinggi-tinggi tahniah diucapkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda hari ini," katanya.
-- BERNAMA