Menteri Pertanian Korea Selatan lawat Malaysia bincang keselamatan makanan, eksport

Bernama
Mei 10, 2023 17:55 MYT
Menteri Pertanian Korea Selatan Chung Hwang Keun akan melawat Malaysia dan Indonesia untuk berbincang mengenai cara meningkatkan kerjasama dalam industri pertanian dan makanan. - Foto FB Embassy of Denmark in Korea
SEOUL: Menteri Pertanian Korea Selatan Chung Hwang Keun akan melawat Malaysia dan Indonesia untuk berbincang mengenai cara meningkatkan kerjasama dalam industri pertanian dan makanan selain memastikan rantaian bekalan yang lebih stabil.
Semasa lawatannya ke Malaysia yang bermula Khamis, Chung akan bertemu rakan sejawatnya, Datuk Seri Mohamad Sabu dan mengeluarkan deklarasi bersama yang menyeru kerjasama meluas dalam keselamatan makanan, pertanian pintar dan eksport makanan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea Selatan, kedua-dua negara juga merancang untuk menandatangani kontrak pertama eksport daging lembu Korea Selatan yang mematuhi piawaian halal.
Di Indonesia, Chung dijadual mengadakan pertemuan dengan menteri pertanian negara itu, Syahrul Yasin Limpo, untuk menandatangani semakan semula memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam sektor pertanian.
"Lawatan ini akan menjadi peluang pengukuhan saluran kerjasama dengan kedua-dua negara berhubung sektor pertanian dan bahan mentah selain untuk mempromosikan barangan K-food bagi mengembangkan pasaran eksport kami," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Chung akan kembali ke Korea Selatan pada Selasa.
-- BERNAMA
#Chung Hwang Keun #Menteri Pertanian Korea Selatan #lawatan ke Malaysia #industri pertanian dan makanan
;