Menteri Pengangkutan persoal tindakan pusat beli belah saran elak naik kenderaan awam
Astro Awani
Disember 27, 2020 19:07 MYT
Disember 27, 2020 19:07 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mempersoal tindakan pengurusan sebuah pusat beli belah terkenal di Johor Bahru mengeluarkan garis panduan menyarankan orang awam mengelak menaiki kenderaan awam.
Beliau menyifatkan garis panduan itu mengelirukan orang ramai dan pengurusan digesa memperbetulkan informasi berkenaan.
"Wajarkah pihak pengurusan Plaza Angsana JB mengeluarkan garis panduan kepada orang awam supaya tidak menaiki kenderaan awam?
"Sedangkan pengangkutan awam adalah mod pengangkutan kepada golongan B40 dan M40 kerana hakikatnya bukan semua orang mampu memiliki kereta sendiri," katanya melalui statusnya di laman Facebook pada Ahad.
Ujarnya, sejak penularan wabak COVID-19, perkhidmatan pengangkutan awam seperti kereta api, bas, teksi dan e-hailing tidak pernah menghentikan operasi.
Malah, kementeriannya bersama-sama Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM) telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dari semasa ke semasa termasuk saringan suhu penumpang, penggunaan pelitup muka serta penyediaan pensanitasi tangan.
"Tambahan lagi, proses menyahkuman dan sanitasi juga dibuat secara berkala. Saya harap pihak pengurusan Plaza Angsana JB dapat membetulkan informasi ini kerana ia mengelirukan orang ramai," ujarnya.