Menteri Pengajian Tinggi mohon maaf

Astro Awani
Oktober 3, 2020 13:23 MYT
Noraini memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap semua pihak dapat bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas dikritik dan dikecam di media sosial berikutan nasihat supaya menangguhkan proses pendaftaran dan orientasi pelajar universiti saat-saat akhir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad tampil memohon maaf.
Menurut Noraini, beliau mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak institut pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran fizikal.
“Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 ini,” kata beliau dalam kenyataan yang dikongsi di laman Facebook pada Sabtu.
Dalam masa sama, Noraini berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini.
“Kepada pelajar yang sudah tiba, boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak universiti.
“Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti.” tulis Noraini dalam catatan itu.
Katanya, sejajar dengan dasar kerajaan memberi autonomi kepada pengurusan IPT, Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan pendaftaran pelajar baharu dan lama di semua IPT ditangguhkan serta merta.
Menurutnya, cadangan dibuat susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 sejak beberapa hari lalu.
“Peningkatan kes berkenaan adalah di luar jangka. Kementerian telah berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak pengurusan IPT termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal penularan pandemik,” tegas Noraini.
Ekoran penangguhan sesi pendaftaran dan orientasi pelajar IPT, Noraini menjadi tumpuan apabila rata-rata pelajar secara terbuka mengkritik tindakan yang dianggap menyusahkan banyak pihak.
BACA: Universiti Malaya tetap sambut pelajar, beri pilihan tinggal di kampus atau pulang
BACA: #SiswaJagaSiswa: Twitter dibanjiri bantuan kepada pelajar terkandas
#Noraini mohon maaf #Menteri Pengajian Tinggi #tangguh pendaftaran #orientasi #pelajar universiti #COVID19
;