Menteri Pendidikan akan jumpa PIBG dari 11 sekolah Cina - Fahmi
Sinar Harian
Jun 6, 2024 12:15 MYT
Jun 6, 2024 12:15 MYT
SUNGAI BAKAP: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalannya Wong Kah Woh akan bertemu dengan Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di negeri ini bagi menyelesaikan segala isu yang berbangkit dengan baik.
Ini berikutan selepas kumpulan berkenaan dilaporkan membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Program Dual Language Programme (DLP) yang dijalankan di sekolah mereka.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya tidak mahu mana-mana pihak yang menangguk di air keruh dengan cuba mempolitikkan isu berkenaan termasuk menyentuh isu 3R (agama, raja, kaum) yang boleh mengganggu gugat keharmonian masyarakat.
Menurutnya, berdasarkan laporan sentimen yang telah dibuat, didapati ada beberapa pihak yang keluarkan kata-kata rasis dan ambil kesempatan serta membuat tohmahan tidak baik.
"Saya tak mahu mana-mana pihak menangguk di air keruh dengan cuba mempolitikkan apa yang sebenarnya disampaikan.
"Saya telah arahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) teliti komen yang telah dibuat dan ambil tindakan sekiranya ada mana-mana individu atau warganet yang meletakkan komen rasis dan bersifat 3R," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Komuniti Madani Sungai Bakap di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, ada beberapa pihak telah membuat persepsi tidak benar dalam isu berkenaan.
Katanya, difahamkan isu berbangkit berkait bantahan PIBG mengenai dasar DLP untuk pengajaran subjek Sains dan Matematik.
"Bukan dihapuskan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
"Yang mereka sampaikan itu hanyalah pandangan dan bantahan mereka supaya DLP diteruskan dalam bahasa Inggeris.
"Jadi, saya yakin Menteri Pendidikan dan Timbalannya akan teliti perkara ini dan menyelesaikan dengan baik," katanya.
Semalam, media melaporkan Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 SMJK dan SMC yang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Ia berikutan sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.
Justeru, mereka menggesa KPM mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal DLP dalam Sains serta Matematik. - Sinar Harian