Menteri nafi tempat duduk Najib di pertabalan Agong ditukar saat akhir
Bernama
Ogos 1, 2019 20:54 MYT
Ogos 1, 2019 20:54 MYT
Tempat duduk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa lepas telah ditetapkan dan tidak dialihkan pada saat akhir seperti didakwa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Mujahid yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkata pihaknya sudah memberikan jawapan rasmi kepada Najib berhubung dakwaan itu.
Najib mendakwa tidak dapat hadir ke istiadat itu setelah menerima panggilan pada 6.30 pagi bahawa tempat duduk beliau yang sepatutnya di tempat ke-10 sebagai bekas perdana menteri mengikut protokol istiadat ditukar pada saat akhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang.
Menurut Najib, pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas perdana menteri tidak sama dan beliau tidak sempat untuk mengambil pakaian istiadat Orang Besar Pahang dari Pekan, Pahang.
Iklan
"Isunya bukan dialih. Isunya (kerusi Najib) sudah ditetapkan. Kemudian Najib sendiri beri alasan dia kena duduk di tempat Orang Besar Pahang. Dia kena tukar baju. Itu masalah dia. Kita sudah maklum lebih awal," kata Mujahid.
Beliau ditanya pemberita mengenai isu tersebut selepas melancarkan logo Karnival Rahmah 2019 yang bakal berlangsung di Dataran Putrajaya dari 26 hingga 29 Sept depan.
Antara pengisian karnival cetusan idea Mujahid bagi merakyatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin adalah mini karnival kanak-kanak, mini karnival perumahan, festival buku, pameran dan Halal 'fun run'.
#AgongKita
#Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI
#Karnival Rahmah 2019
#Mujahid Yusof Rawa
#Najib Razak
#Orang Besar Pahang