Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN garis lima strategi tangani Zika
Rahimah Abdullah
September 21, 2016 21:26 MYT
September 21, 2016 21:26 MYT
Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN sepakat menggariskan lima strategi dan langkah untuk menangani virus Zika.
Ketetapan dibuat melalui Deklarasi ASEAN mengenai Zika semasa persidangan video khas hampir dua jam pada 19 September lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, strategi berkenaan termasuk memperkukuh pengawasan penyakit dan memanfaatkan mekanisme penilaian risiko serantau sedia ada mengenai Zika dengan sokongan teknikal organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Selain itu, negara terlibat akan memanfaatkan Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 (IHR,2005) dan mekanisme sedia ada untuk perkongsian maklumat yang relevan.
"Ketiga, meningkatkan keberkesanan pemantauan serantau dan tindak balas pada virus Zika dan lain-lain yang baru muncul dan muncul semula melalui mekanisme inisiatif serantau yang sedia ada.
"Keempat, mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengurus risiko dengan melaksana langkah kawalan vektor, memastikan akses kepada ujian diagnostik untuk virus Zika termasuk mengukuhkan rangkaian makmal kebangsaan dan komunikasi risiko dengan sewajarnya," katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Pada masa sama, negara anggota sepakat menjalankan penyelidikan dan perkongsian pengetahuan baharu serta amalan terbaik berkaitan Zika.
Dalam pada itu, Subramaniam memaklumkan tiada kes baharu jangkitan Zika dilaporkan setakat ini.
"Setakat ini, terdapat enam kes Zika telah dilaporkan di seluruh negara," jelasnya.
Tambahnya, lebih 800 ujian ke atas darah pesakit disyaki dijangkiti Zika telah dilakukan dan kesemua mereka disahkan negatif virus berkenaan.
"Apa yang kami lakukan, jika ada kes jangkitan di sesuatu kawasan, mana-mana individu yang demam dan ada simptom berkaitan akan menjalani ujian darah," kata Subramaniam.
Pada masa sama, kementeriannya turut melakukan ujian ke atas 116 nyamuk yang disyaki membawa virus berkenaan, namun kesemuanya disahkan negatif.