Menteri-menteri ASEAN mahu penubuhan pusat kawalan pencemaran jerebu rentas sempadan disegerakan
Bernama
Jun 9, 2023 15:52 MYT
Jun 9, 2023 15:52 MYT
JAKARTA: Berikutan musim kemarau tahun ini yang dijangka berpanjangan dan intensif akibat fenomena La Nina, menteri-menteri ASEAN menekankan pentingnya menyegerakan penubuhan Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di Indonesia.
Menteri dan pegawai yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemandu kementerian subrantau mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan pada Khamis dalam satu kenyataan menyatakan, pusat itu akan memudahkan pelaksanaan yang lebih pantas dan berkesan dalam semua aspek Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Mesyuarat itu dihadiri menteri dan pegawai bagi alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan timbalan ketua setiausaha Sekretariat ASEAN.
Jawatankuasa itu turut menggesa perbincangan mengenai perjanjian negara tuan rumah bagi pusat itu disambung untuk memuktamadkan segera perkara berkenaan.
Berdasarkan model iklim semasa, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN meramalkan 70-80 peratus peluang untuk El Nino meningkat antara bulan ini hingga September dan Dwikutud Lautan Hindi yang positif berkembang antara bulan ini dan Julai.
"Kedua-dua fenomena iklim ini berkemungkinan akan mengakibatkan hujan kurang daripada keadaan normal di sebahagian besar rantau ASEAN selatan dalam beberapa bulan akan datang," menurut kenyataan itu.
Negara-negara itu juga menegaskan kesediaan untuk memberi bantuan memadam kebakaran jika ada permintaan selain meningkatkan penyelarasan mengurangkan kebakaran tanah dan hutan apabila keadaan memerlukan.
-- BERNAMA