Menteri Luar Uzbekistan lawat Malaysia pada Selasa
Bernama
Julai 8, 2024 21:24 MYT
Julai 8, 2024 21:24 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Luar Uzbekistan Bakhtiyor Saidov akan melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada Selasa sebagai susulan kepada perbincangan yang diadakan semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada Mei tahun ini.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Isnin, Saidov akan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri semasa lawatannya.
Beliau juga akan bertemu dengan rakan sejawat, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk membincangkan hubungan dua hala, bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan sejagat yang menyentuh kepentingan bersama, mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada dan meneroka kerjasama dalam bidang baharu terutamanya perdagangan, pelaburan, tenaga, pelancongan dan industri halal.
Delegasi Uzbekistan juga akan mengadakan mesyuarat dengan PETRONAS bagi membincangkan potensi kerjasama dalam sektor petroleum dan gas serta industri kimia di Uzbekistan, katanya.
Wisma Putra berkata Malaysia dan Uzbekistan telah mengukuhkan hubungan dua hala pada tahun ini, dengan pertukaran lawatan antara kedua-dua negara dan penganjuran bersama satu acara perniagaan di Samarkand pada Mei 2024.
Uzbekistan merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah pada tahun 2023, dengan jumlah perdagangan Malaysia-Uzbekistan mencecah RM451.1 juta (US$94.03 juta).
-- BERNAMA