Menteri Luar Poland hormati pendirian Malaysia, kekal sikap neutral dan tidak memihak

Nik Nuur Azam Shah
September 3, 2024 22:24 MYT
Menteri Luar Poland, Radosław Sikorski (2 dari kiri) bergambar selepas selesai rakaman program temu bual eksklusif 'Awani Global' di studio Astro AWANI. - Foto/Nik Azam
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski menghormati pendirian Malaysia dan ASEAN yang teguh dengan sikap neutral dan tidak memihak berhubung perang antara Rusia dan Ukraine.

Ringkasan AI
  • Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski, menghormati pendirian neutral Malaysia dan ASEAN dalam konflik Rusia-Ukraine, sambil menekankan setiap negara berhak mengambil sikap yang sesuai dengan kepentingan masing-masing.
  • Poland memihak kepada Ukraine dalam konflik tersebut, manakala Malaysia kekal neutral. Poland dan Malaysia telah menjalinkan hubungan dua hala yang kukuh sejak 1970-an dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan, dan pendidikan.
  • Hubungan strategik antara Poland dan Malaysia menjadi lebih penting menjelang 2025, apabila Poland memegang kepresidenan Majlis EU dan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.

Dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, Sikorski menegaskan setiap negara berhak mengambil pendirian yang bersesuaian dengan kepentingan masing-masing.
“Kita ada beberapa anggota EU (Kesatuan Eropah) yang neutral - Ireland dan Austria. Kita juga ada anggota lain seperti Sweden dan Finland yang baru-baru ini mengambil keputusan untuk berhenti menjadi neutral. Sweden pernah neutral selama hampir 300 tahun dan sekarang ia menyertai NATO. Semua itu bergantung kepada apa yang berlaku di kejiranan serantau.
"... dan ketika di rantau kami tidak dalam keadaan aman, Poland ialah satu-satunya negara di EU yang mempunyai Rusia dan Ukraine sebagai jiran, dan kedua-dua jiran itu sedang dalam peperangan, dengan lebih sejuta orang, sama ada terkorban atau cedera. Ia merupakan cabaran besar buat kami,” kata beliau semasa lawatannya ke bilik berita Astro AWANI di Pusat Penyiaran Asia, Taman Teknologi dan Inovasi Malaysia (TiPM) di sini pada Selasa.
Ini merupakan kali pertama Sikorski ditemu bual secara eksklusif oleh Astro AWANI sejak beliau dilantik sebagai Menteri Luar Negeri Poland pada Disember 2023.
AWANI Tonight: Maintaining neutrality depends on a nation's situation - Polish Foreign Minister
Poland selaku negara anggota Kesatuan Eropah (EU), secara jelas memihak kepada Ukraine dalam konflik Rusia-Ukraine, sedangkan Malaysia memilih untuk kekal neutral, tidak memihak kepada mana-mana negara yang terlibat dalam konflik tersebut.
Selain itu, beliau menambah Poland dan Malaysia telah membina hubungan dua hala pelbagai bidang sejak 1970-an.
Malaysia pula merupakan rakan kongsi penting dalam rantaian bekalan bagi Poland.
Kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara bertunjangkan pelaburan dan perdagangan, kerjasama pertahanan, pertanian dan keterjaminan makanan, serta pendidikan dan pelancongan.
Pada tahun 2023, Poland merupakan rakan dagangan ke-8 terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Pemerhati antarabangsa melihat hubungan akrab Kuala Lumpur-Warsaw dilihat strategik khususnya apabila Poland memegang kepresidenan Majlis EU pada separuh pertama 2025, berserentak dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
#Malaysia #poland #Radoslaw Sikorski #ASEAN #Astro Awani
;