Menteri Luar Malaysia tandatangan nota takziah di kedutaan Iran

Bernama
Mei 22, 2024 08:45 MYT
Mohamad menandatangani nota takziah bagi pihak kerajaan Malaysia atas pemergian kedua-dua pemimpin Iran berkenaan. - Foto FB Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengunjungi Kedutaan Iran di Malaysia pada Rabu untuk menyampaikan ucapan takziah bagi pihak rakyat Malaysia atas pemergian Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Iran, Dr. Hossein Amirabdollahian yang terbunuh dalam nahas helikopter Ahad lepas.
Menerusi hantaran di akaun media sosial X, Mohamad menyampaikan ucapan takziah itu kepada Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi atas kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat republik Islam itu.
Dalam hantaran itu, Menteri Luar menyatakan bahawa beliau juga telah menandatangani nota takziah bagi pihak kerajaan Malaysia atas pemergian kedua-dua pemimpin Iran berkenaan.
Dalam nahas pada 19 Mei kira-kira pukul 4.30 petang waktu tempatan, helikopter dinaiki Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Hossein Amirabdollahian, melakukan pendaratan kecemasan di Hutan Dizmar Tengah di Wilayah Azerbaijan Timur, semasa dalam penerbangan pulang ke Tehran.
Presiden dan menteri luar termasuk semua penumpang lain di dalam helikopter berkenaan terkorban dalam nahas itu.
-- BERNAMA
#Menteri Luar #Mohamad Hasan #kedutaan Iran #ucapan takziah #rakyat Malaysia #Presiden Iran #Ebrahim Raisi #nahas helikopter