Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi lawat Malaysia mulai esok

Bernama
Julai 2, 2024 19:30 MYT
Retno akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan untuk membincangkan kerjasama sedia ada. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia esok bagi mengeratkan lagi jalinan persahabatan dan hubungan telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata semasa lawatan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan untuk membincangkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara sebagai persediaan untuk Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala ke-17 (JCBC) yang akan dihoskan oleh Indonesia tahun ini.
Kedua-dua menteri juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Menurut Wisma Putra, Retno juga akan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Selaku jiran tetangga dan Negara Anggota ASEAN, hubungan Malaysia-Indonesia adalah amat penting bukan sahaja dari perspektif dua hala tetapi dalam konteks keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau," katanya.
Pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagangan dunia ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak USD24.39 billion (RM111.21 bilion).
-- BERNAMA
#menteri luar Indonesia #Retno Marsudi #lawat Malaysia #Hubungan dua hala #Wisma Putra
;