Menteri Luar India, Bangladesh bincang situasi di Myanmar
Bernama
Februari 8, 2024 14:30 MYT
Februari 8, 2024 14:30 MYT
NEW DELHI: Menteri Luar India dan Bangladesh mengadakan perbincangan berhubung situasi di Myanmar ketika ratusan anggota keselamatannya melarikan diri ke kedua-dua negara itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Menteri Luar Bangladesh Muhammad Hasan Mahmud bertemu dengan rakan sejawatnya dari India Subrahmanyam Jaishankar di New Delhi pada Rabu, lapor Agensi Anadolu.
Kedua-dua pihak membincangkan perkembangan terkini di Myanmar dan kesannya terhadap kestabilan serantau, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Bangladesh.
Pertempuran antara tentera junta Myanmar dengan sekurang-kurangnya tiga kumpulan pemberontak semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Ia menyebabkan ratusan pasukan keselamatan Myanmar melarikan diri ke India dan Bangladesh.
Insiden berbalas tembakan merentas sempadan antara pihak bertelagah dari Myanmar ke Bangladesh dan China telah mengakibatkan dua kematian manakala beberapa lagi cedera.
Sementara itu, Dhaka memaklumkan bahawa penghantaran pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar telah dibincangkan dan menteri Luar Bangladesh mengulangi gesaan kepada India untuk menyokong proses itu.
Kedua-dua menteri itu turut membincangkan kes pembunuhan di sepanjang sempadan Bangladesh-India dan bersetuju meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pasukan pengawal sempadan.
Kedua-dua negara Asia Selatan berkongsi sempadan antarabangsa sepanjang 4,096 kilometer, sempadan darat kelima terpanjang di dunia.
-- BERNAMA