Menteri Luar Australia Penny Wong berkongsi sedikit asal usul kelahirannya di Malaysia

Bernama
Jun 29, 2022 19:04 MYT
Wong dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah pada 1968 hasil perkahwinan antara ibunya kelahiran Australia dan bapanya rakyat Malaysia. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Australia Penny Wong yang berada dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia pada Rabu berkongsi serba sedikit mengenai asal-usulnya di Malaysia, ketika menghadiri majlis makan tengah hari dengan wakil kerajaan, ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat.
Wong dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah pada 1968 hasil perkahwinan antara ibunya kelahiran Australia dan bapanya rakyat Malaysia.
Apabila ibu bapanya berpisah, beliau berpindah ke Australia Selatan bersama ibu dan adik lelakinya ketika berusia lapan tahun.
Neneknya Lai Fung Shim, berketurunan Hakka, telah menjadi sumber inspirasi bagi dirinya, dan digambarkan sebagai orang yang paling cekal pernah Wong kenali.
Nenek dan keluarganya menetap di Sandakan ketika Perang Dunia II tercetus, di mana kebanyakan ahli keluarganya terkorban akibat perang, meninggalkan Poh-Poh (neneknya) sendirian menjaga anak-anaknya dalam keadaan sukar.
"Keazamannya untuk meneruskan hidup, dan menyelamatkan diri dan anak-anaknya, menjadi sumber kekuatan Wong.
"Dia hampir buta huruf. Dia seorang yang penyayang dan rendah hati, dan orang paling cekal pernah saya kenal. Dalam situasi sukar, saya akan sentiasa terkenangkan dirinya, segala kesusahan yang beliau terpaksa tanggung," kata Wong menggambarkan neneknya dalam ucapan pada majlis itu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi, ahli politik tempatan dan anggota kor diplomatik.
Sementara itu, mengulas mengenai bapanya Francis Wong, beliau berkata bapanya hidup dalam kemiskinan dalam usia awalnya.
Beliau menyifatkan bapanya sebagai seorang pelajar cemerlang dan berkat kerajinannya membawa biasiswa Rancangan Colombo bagi menyambung pelajaran dalam jurusan seni bina di Universiti Adelaide, Australia.
"Peluang untuk sambung belajar mengubah hidupnya. Ini bermakna dia boleh keluar daripada kancah kemiskinan sejak kecil," katanya sambil menambah Francis Wong akhirnya berpindah semula ke Kota Kinabalu bersama keluarganya.
Wong ialah Menteri Luar Australia pertama kelahiran Asia.
Sebelum tiba di Malaysia, Wong mengadakan kunjungan ke Vietnam.
Selepas pelantikannya sebagai menteri luar pada awal bulan ini, beliau ke Indonesia bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.
-- BERNAMA
#Penny Wong #Menteri Luar Australia #kelahiran Malaysia #Sabah
;