Menteri Luar Australia Penny Wong adakan lawatan kerja ke Malaysia bermula Isnin
Bernama
Februari 27, 2023 12:35 MYT
Februari 27, 2023 12:35 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Australia Penny Wong sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Malaysia bermula Isnin.
Kedua-dua menteri dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama termasuk ASEAN, Myanmar dan pakatan kerjasama tiga hala yang melibatkan Australia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat (AUKUS).
Wong juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bertemu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta menghadiri program-program yang telah diatur oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra).
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi hubungan dan meneroka lebih banyak peluang kerjasama di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).
Kedua-dua pihak mempunyai kerjasama erat dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, sains dan teknologi, pendidikan, memerangi keganasan, perdagangan dan pelaburan, menurut kenyataan itu.
Pada 2023, Australia dijadual menghoskan Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) kedua dan Mesyuarat Menteri Luar Negeri (AFMM) kelima di bawah rangka CSP.
Jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2022 meningkat dengan ketara sebanyak 55.4 peratus kepada RM88.65 bilion (AS$20.05 bilion), menjadikan Australia sebagai rakan dagang ke-10 terbesar di peringkat global bagi Malaysia.
Wong dalam satu kenyataan berkata lawatannya ke Malaysia akan mengesahkan semula keutamaan bersama di bawah CSP.
"Saya berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Anggota Kabinet yang baharu, termasuk Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Ekonomi.
"Mesyuarat ini akan memberi tumpuan kepada memajukan hubungan perdagangan dan ekonomi, kerjasama dalam pertahanan dan keselamatan serantau serta hubungan erat antara rakyat," katanya.
Beliau berkata Australia komited untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menyokong peranan penting ASEAN terhadap keamanan dan keselamatan serantau.
Selepas lawatannya ke Malaysia, Wong dijadual berlepas ke India dan bertemu rakan sejawatnya ketika Mesyuarat Menteri Luar G20 di New Delhi.
Australia menyokong India selaku tuan rumah sidang kemuncak G20 dan mengalu-alukan agenda yang bercita-cita tinggi berorientasikan tindakan, bertemakan 'One Earth, One Family, One Future', katanya.
Tahun ini bakal menyaksikan perkembangan penting dalam hubungan dua hala Australia dengan India berikutan banyak lawatan peringkat tinggi peringkat menteri antara kedua-dua negara.
"Saya berharap dapat bekerjasama dengan rakan sejawatan tentang cara menangani cabaran antarabangsa, termasuk mengukuhkan sistem pelbagai hala, keselamatan makanan dan tenaga, serta bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana," katanya.
Semasa di New Delhi, beliau akan menghadiri Dialog Raisina 2023, forum utama India untuk menangani isu paling mencabar yang dihadapi komuniti serantau dan global.
-- BERNAMA