Menteri Luar Arab Saudi dijadual bertemu Tun Mahathir, Saifuddin

Astro Awani
Oktober 25, 2018 04:05 MYT
Sebelum menamatkan lawatan tiga hari beliau, Adel dijangka membuat kunjungan hormat kepada Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya. - Gambar fail
Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir kini berada di Malaysia untuk lawatan kerja selama tiga hari bermula Rabu.
Beliau yang diiringi wakil Kementerian Luar Arab Saudi dijadual bertemu Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra, Putrajaya.
"Pertemuan itu akan memberi peluang kepada kedua belah pihak untuk membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi, serta bertukar pendapat mengenai isu-isu antarabangsa.
"Sebelum ini, mereka telah bertemu di luar sesi Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 pada 24 Sept di New York," kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum menamatkan lawatan, Adel dijangka membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya.
Arab Saudi merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah yang menyaksikan jumlah perdagangan yang meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM15 bilion pada 2017, berbanding RM14.04 bilion pada tahun sebelumnya.
Hubungan erat kedua-dua negara merangkumi aspek politik, ekonomi, pendidikan tinggi serta hal ehwal haji.
#Arab Saudi #Mahathir Mohamad #Saifuddin Abdullah #Wisma Putra